HOTEL SERI WARISAN (JAWHAR - MAIPk), TAIPING
Hotel Seri Warisan (JAWHAR-MAIPk) merupakan sebuah hotel bertaraf tiga bintang di bawah pengurusan Yayasan Waqaf Malaysia yang dibina atas tanah wakaf yang dipegang oleh Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk) di bawah nombor Lot 2436, Hakmilik 44772, Mukim Bandar Taiping, Daerah Larut dan Matang.
Kerajaan Persekutuan melalui JAWHAR telah memperuntukkan sebanyak RM19 juta untuk pembangunan hotel wakaf ini dengan kerjasama MAIPk dan Jabatan Kerja Raya. Kerjasama ini merupakan perkongsian pintar (smart partnership) di bawah strategi laut biru (blue ocean strategy) yang telah membuahkan hasil dan sekaligus memberikan gambaran bahawa Kerajaan komited dan serius dalam usaha membangunkan tanah wakaf menerusi program transformasi pembangunan hartanah wakaf.
Hotel berketinggian empat tingkat ini memiliki 24 bilik deluxe single, 10 bilik deluxe twin, 10 bilik famili, enam dewan seminar, sebuah dewan bankuet, surau dan kafeteria. Lokasi hotel ini adalah sangat strategik kerana terletak ditengah-tengah bandar Taiping. Antara tempat tumpuan yang berdekatan dengan hotel ini adalah Muzium Perak, Masjid Melayu, Taman Tasik Taiping dan Hospital Taiping. Selain dari tujuan penginapan, dewan hotel juga boleh disewa untuk pelbagai acara seperti majlis perkahwinan, mesyuarat, team building dan pelbagai lagi.
Majlis Penyerahan Kunci Bangunan Hotel telah diadakan pada 10 Mei 2012 yang disempurnakan oleh YBhg. Dato Seri Othman bin Haji Mahmood, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri. Hotel wakaf yang dijenamakan sebagai Hotel Seri Warisan (JAWHAR-MAIPk) ini mula beroperasi secara rasmi pada 4 Julai 2012.
2453, Jalan Convent, 34000 Taiping, Perak
Kongsi Kongsi