HOTEL WAKAF
THE GRAND PUTERI HOTEL, KUALA TERENGGANU

The Grand Puteri Hotel merupakan hotel wakaf dengan ciri-ciri berkonsepkan Islam yang dibina atas tanah wakaf yang dipegang oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di bawah Nombor Lot PT 3981, Hak Milik HSD 9469, Daerah Kuala Terengganu. Hotel yang diuruskan oleh Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) ini mula beroperasi pada 15 April 2013.

Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) telah memperuntukkan kos sebanyak RM41.69 juta untuk projek hotel wakaf Terengganu ini. Majlis Penyerahan Kunci Bangunan Hotel telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Hajah Hasnah binti Haji Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Perdana Menteri pada 8 April 2013. Dalam majlis tersebut, Ketua Pengarah JAWHAR, YBhg. Datuk Anan bin C. Mohd telah menerima dokumen penyerahan projek dan replika kunci hotel daripada wakil Jabatan Kerja Raya Malaysia iaitu YBhg. Ar. Prof. Datuk Dr. Amer Hamzah bin Mohd Yunus, Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1. Replika kunci hotel tersebut kemudiannya diserahkan kepada Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama / Ketua Pegawai Esekutif MAIDAM iaitu YBhg. Dato' Haji Mohd Rozali bin Salleh. Dalam majlis ini turut diadakan penyerahan surat kuasa operasi hotel oleh MAIDAM kepada YWM.

Hotel bertaraf tiga bintang ini berketinggian tujuh tingkat dan memiliki 72 bilik superior, 40 bilik superior twin, 26 bilik deluxe twin, 22 bilik deluxe double, 22 bilik deluxe executive, enam bilik Puteri Suite, empat bilik Premier Suite, enam dewan seminar, dua asrama, kolam renang, surau serta kafeteria. Hotel ini juga berdekatan dengan Pasar Kedai Payang, Pesisir Payang, Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Masjid Abidin (Masjid Negeri). Selain dari tujuan penginapan, dewan hotel juga dibuka untuk pelbagai acara seperti majlis perkahwinan, mesyuarat, kursus dan pelbagai lagi.

PT 3981, Jalan Masjid Abidin, 20100 Kuala Terengganu

09-621 5555 / 019-288 4501

www. thegrandputerihotel.com


Kongsi Kongsi