PUTERI BAY HOTEL MELAKA, TANJUNG KLING
Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri telah memperuntukkan sebanyak RM25.6 juta di bawah Program Pembangunan Hartanah Wakaf, Rancangan Malaysia Kesembilan bagi membina sebuah hotel dikenali sebagai Puteri Bay Hotel Melaka yang bertaraf tiga bintang di atas sekeping tanah wakaf yang dipegang oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di bawah nombor lot 2166 dan 2167, Mukim Tanjung Kling, Melaka.
Pembinaan Puteri Bay Hotel Melaka telah bermula pada 15 Januari 2009 dengan nilai pembangunan sebanyak RM25.6 juta dan telah diserahkan secara rasmi oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada JAWHAR dan MAIM pada 29 Oktober 2011 menerusi Majlis Penyerahan Kunci yang telah disempurnakan oleh YB. Datuk Yaakub bin Md. Amin, Exco Agama Islam Negeri Melaka merangkap Timbalan Pengerusi MAIM.
Pada 11 November 2011 (Jumaat) bersamaan dengan 15 Zulhijjah 1432H, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billahi Shah telah berkenan mencemar duli untuk merasmikan hotel wakaf pertama di Malaysia ini. Majlis perasmian tersebut berlangsung dengan gemilangnya yang turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob, Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Wira Abu Seman Yusop, Pembesar-pembesar Negeri Melaka, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai daripada Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Hotel ini berkeluasan tapak 6,304 meter persegi dengan mengandungi 80 bilik biasa, lima bilik eksekutif, dua bilik ketua rombongan, tiga bilik asrama lelaki (satu bilik : 20 orang), tiga bilik asrama perempuan (satu bilik : 20 orang), satu dewan serbaguna (350 orang), satu bilik seminar (60 orang), satu bilik banquet (200 orang), satu bilik mesyuarat (20 orang), kolam renang dan kafeteria (180 orang).
Puteri Bay Hotel Melaka, Mukim Tanjung Kling, Daerah Melaka Tengah, 76400, Melaka
https://www.facebook.com/puteribayhotelmelaka

Kongsi Kongsi