WEBINAR WAKAF | SIRI 4 : WAKAF BERTEMPOH : PROSPEK PELAKSANAANNYA DI MALAYSIA
16-07-202116 Julai 2021 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah telah menganjurkan Webinar Wakaf Siri 4 yang bertajuk “Wakaf Bertempoh: Prospek Pelaksanaannya di Malaysia” secara atas talian selama 2 jam menggunakan aplikasi Cisco Webex.
Antara objektif penganjuran program ini adalah seperti berikut:
- Menghuraikan konsep sebenar pelaksanaan Wakaf Bertempoh dan pandangan syarak terhadap pelaksanaan konsep ini;
- Mengupas sejauh mana konsep ini diterima pakai di Malaysia dan bagaimana ia boleh dilaksanakan mengikut perundangan sedia ada di setiap negeri; dan
- Menjadi salah satu cabang kajian para penyelidik dalam bidang wakaf untuk meneroka kaedah pelaksanaannya bagi membolehkan ia dilaksanakan secara menyeluruh di Malaysia.
Webinar ini telah berjaya menerima penyertaan seramai 5,968 peserta menerusi Live Facebook YWM serta crossposting bersama beberapa Facebook Majlis Agama Islam Negeri dan 160 peserta yang berdaftar menerusi aplikasiCisco Webex Meetings. Jumlah keseluruhan penyertaan daripada kedua-dua medium adalah seramai 6,128 peserta.
Webinar dimulakan oleh Cik Haidatul Azia binti Husin, Pengurus Bahagian Pemasaran dan Korporat sebagai pengacara majlis. Webinar diteruskan pula dengan ucapan aluan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif YWM. Seterusnya, YBrs. Dr. Rohayati binti Hussin, Ketua Jawatankuasa Unit Wakaf, UiTM Cawangan Kedah mengambil alih tugasan selaku moderator program ini. Webinar diteruskan ke sesi perbincangan bersama panelis yang tidak asing lagi iaitu S.S. Dato’ Dr. Haji Anhar bin Haji Opir, Jabatan Mufti Negeri Selangor sebagai panel yang pertama manakala YBrs. Prof. Madya. Dr. Siti Mashitoh binti Mahamood, Profesor Madya Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWM sebagai panel kedua. Webinar ini membincangkan topik mengenai prospek pelaksanaan wakaf bertempoh di Malaysia.
Sebagai permulaan, soalan telah diajukan oleh moderator kepada panel pertama mengenai istilah wakaf bertempoh dari segi bahasa dan syarak. Panel menjelaskan bahawa pelaksanaan yang jelas wakaf bertempoh di setiap negeri perlu ada undang-undang bertulis yang diluluskan oleh pihak yang berkuasa mebuat undang-undang demi kelancaran dalam pengurusan harta wakaf tersebut pada masa akan datang. Tambahnya lagi, “Tiada satu mazhab dalam empat mazhab muktabar melainkan setiap mazhab ada pandangan yang menyebut boleh dan dibenarkan melakukan wakaf bertempoh.”
Semasa perbincangan berlangsung, panel kedua juga menerangkan tentang Seksyen 2 tafsiran wakaf menerusi rujukan enakmen Majlis Agama Islam Negeri yang bermula tahun 2,000 ke atas. Tafsiran wakaf, wakaf am dan wakaf khas dibuat secara umum dan tiada menyatakan berkenaan dengan kekal ataupun bertempoh. Ia menunjukkan wakaf ini tidak semestinya dibuat secara kekal. Kesimpulannya, pihak pengurusan wakaf yang ingin melaksanakan sesuatu dasar mestilah merujuk kepada Majlis Agama Islam Negeri terlebih dahulu bagi mendapatkan kelulusan.
Semoga webinar kali ini dapat memberi manfaat dan kefahaman kepada masyarakat mengenai prospek pelaksanaan wakaf bertempoh di Malaysia, InsyaAllah. Penghargaan juga turut diberikan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan webinar wakaf ini. Semoga bertemu lagi pada webinar wakaf bersiri akan datang.
Klik pautan untuk menonton rakaman Webinar Wakaf Siri 4 yang bertajuk “Wakaf Bertempoh: Prospek Pelaksanaannya di Malaysia”- https://fb.watch/6MXRdWPcqo/
TERKINI
Kongsi Kongsi