Aktiviti
RM149, 500 Dana Wakaf Untuk Institusi Pendidikan Di Bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
16-07-2025

Putrajaya, 16 Julai 2025 - Sempena Majlis Perhimpunan Agensi di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menyampaikan sumbangan kepada dua institut pendidikan di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Sumbangan telah disampaikan oleh Dr. Ridzwan bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM sambil disaksikan oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Naim bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Daripada jumlah keseluruhan, cek cura sumbangan bernilai RM49,500 telah diserahkan kepada YBrs. Prof. Madya Dr. Haji Mohammad Firdaus Low Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Profesional MAIWP. Dana ini akan digunakan bagi tujuan pembangunan serta menambah baik infrastruktur dan fasiliti kolej tersebut.

Manakala sumbangan sebanyak RM100,000 disampaikan kepada YBhg. Dato' Prof. Dr. Noor Inayah binti Ya'akub selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP. Dana ini akan dimanfaatkan bagi pembangunan makmal farmaseutikal di institusi berkenaan.

Kira-kira seramai 700 warga agensi agama telah berkumpul di Auditorium JAKIM bagi menjayakan majlis ini. Turut hadir bersama adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta barisan ketua-ketua agensi agama. Selain itu, terdapat pameran dan kaunter perkhidmatan daripada beberapa agensi seperti Bank Islam Malaysia Berhad, Amanah Saham Nasional Berhad, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dan YWM.


Kongsi Kongsi