Aktiviti
DANA PELAJAR YWM SUMBANG 25 TABLET KEPADA SEKOLAH SEKITAR PUTRAJAYA
30-06-2021

Putrajaya, 30 Jun 2021 - Terdapat pelajar yang tidak mengikuti kelas secara talian kerana terpaksa bergilir-gilir dengan adik-beradik yang lain memandangkan hanya ada satu peranti sahaja di rumah. Ada juga pelajar yang tidak mempunyai peranti dan hanya mengharapkan 'smartphone' bapanya semata-mata. Jika bapanya keluar bekerja, maka hari tersebut dia terpaksa ‘tuang’ kelas dan hanya belajar sendiri.

Mereka bukan tidak ingin masuk ke kelas, tetapi ada kekangan yang mereka hadapi. Inilah realiti yang pihak sekolah hadapi pada masa kini. Betapa sedihnya apabila melihat maklumat permohonan daripada pihak sekolah. Benar, mereka amat memerlukan bantuan kita. Masakan gaji ibubapa sebulan RM2500 cukup untuk menampung 7 orang anak? Nak belikan makanan pun belum tentu mencukupi apatah lagi nak belikan peranti atau gajet untuk anak-anak? Lebih menyedihkan ada diantara ibu bapa mereka ini telah diberhentikan kerja akibat pandemik ini.

Menurut pihak sekolah, para pelajar yang memerlukan ini semuanya rajin dan bersemangat untuk belajar, namun akibat kekurangan peranti, mereka banyak ketinggalan dalam silibus pembelajaran. Tidak dinafikan, pelbagai usaha daripada pihak kerajaan, sekolah dan NGO dalam membantu anak-anak ini telah dilaksanakan. Guru-guru juga mengambil pelbagai inisiatif dengan mempelbagaikan platform PdPR. Namun begitu, ini adalah salah satu usaha kami di Yayasan Waqaf Malaysia untuk bersama di dalam usaha ini agar tidak ada pelajar kita tercicir pelajarannya. Walaupun tidaklah sebesar mana sumbangan ini, diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu para pelajar untuk belajar dengan baik dan terus cemerlang pada masa akan datang.

Sebanyak 25 buah tablet telah diserahkan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia kepada Pengetua SMK Putrajaya Presint 16, Tuan Kamaluddin bin Mohd Kassim mewakili para pengetua sekolah menengah di sekitar Putrajaya.

Program sumbangan ini merupakan inisiatif YWM melalui program Dana Pelajar di bawah Program CSR Prihatin YWM. Terima kasih para penyumbang. Sumbangan anda, sinar buat mereka.

Kepada yang ingin memberi sumbangan, anda boleh menyumbang ke akaun CIMB ISLAMIC BANK BERHAD 8602218186 dan 'remark' sebagai DANAPELAJAR.


Kongsi Kongsi