Aktiviti
Majlis Apresiasi Rakan Strategik Yayasan Waqaf Malaysia dan Penjenamaan Semula Perbadanan Wakaf Nasional Berhad
04-11-2026

Kuala Lumpur, 4 November 2026 – Bertempat di Premiera Hotel Kuala Lumpur, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Rakan Strategik YWM dan Penjenamaan Semula Perbadanan Wakaf Nasional Berhad telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang YWM.

Majlis ini meraikan kepercayaan dan komitmen rakan strategik dalam memperluas manfaat wakaf kepada masyarakat. Sumbangan dana, kepakaran, teknologi dan jaringan menjadi kekuatan bersama dalam menyokong pendidikan, kesihatan, pemerkasaan ekonomi serta kelestarian alam sekitar. YB Menteri menerusi ucapan perasmian turut menekankan bahawa kejayaan wakaf perlu dinilai melalui perubahan bermakna dalam kehidupan rakyat.

Pada majlis yang sama, Perbadanan Wakaf Nasional Berhad dijenamakan semula sebagai Permodalan Wakaf Nasional Berhad, bagi memperkukuh peranannya dalam pembangunan ekonomi wakaf negara.

Sebagai entiti wakaf peringkat kebangsaan, YWM turut mengalu-alukan penyertaan organisasi dalam solusi ESG berasaskan wakaf melalui Wakaf Air, Wakaf Masjid Hijau serta inisiatif pendidikan dan pemerkasaan ekonomi. Bawakan keutamaan ESG organisasi anda kepada YWM. Bersama, kita bentuk kerjasama yang memberi manfaat berterusan kepada masyarakat.

Terima kasih kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri, Sahabat Wakaf Korporat YWM, rakan strategik dan rakan media atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan.

Kejayaan wakaf Malaysia ialah pencapaian kita bersama. Wakaf Untuk Semua.


Kongsi Kongsi