Aktiviti
Forum 'Integiriti Dijunjung, Wakaf Didukung' Sempena Hari Integriti Nasional 2026
03-11-2026

Putrajaya, 3 November 2026 - Unit Integriti, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menganjurkan Forum “Integriti Dijunjung, Wakaf Didukung” bersempena sambutan Hari Integriti Nasional 2026 yang berlangsung di Auditorium Perdana, Jabatan Perdana Menteri.

Forum ini menampilkan YBrs. Dr. Ridzwan bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM dan al-Fadil Ustaz Azlan Shah Nabees Khan, Pendakwah Bebas sebagai ahli panel, manakala sesi perbincangan dikendalikan oleh Encik Mohd Hafiz bin Mohd Esa, pegawai Jabatan Perdana Menteri selaku moderator.

Menerusi perkongsian tersebut, Dr. Ridzwan memberikan penerangan mengenai kepentingan wakaf sebagai instrumen kebajikan dan pembangunan ummah yang mampu memberikan manfaat berterusan kepada kehidupan masyarakat dalam pelbagai aspek. Beliau turut menjelaskan peranan YWM dalam memperkasa pembangunan wakaf di peringkat nasional melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif, program serta usaha meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam amalan berwakaf.

Sementara itu, Ustaz Azlan Shah mengupas mengenai kepentingan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam sebagai asas kepada pelaksanaan amanah dan tanggungjawab dengan penuh kejujuran, ketelusan serta akauntabiliti. Bagi mengukuhkan kefahaman peserta terhadap perkongsian yang disampaikan, forum turut disusuli dengan aktiviti Kuiz Kahoot yang menguji pengetahuan dan pemahaman peserta berkaitan topik perbincangan.

Pada program yang sama, YWM turut berpeluang membuka kaunter wakaf kepada para warga JPM yang hadir, Alhamdulillah, pembukaan kaunter ini telah memberi peluang kepada YWM untuk memberikan penerangan serta menyebarluaskan maklumat berkaitan inisiatif dan produk wakaf YWM kepada para pengunjung.

Semoga penganjuran forum ini dapat terus menyemarakkan budaya integriti dalam kalangan penjawat awam, di samping meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penglibatan lebih ramai pihak dalam menyokong pembangunan wakaf demi kesejahteraan ummah.


Kongsi Kongsi