SUMBANGAN DANA PERLU BANTU PEKERJA PEMBERSIHAN YANG TERJEJAS
02-07-2021Putrajaya, 2 Julai 2021 - Seawal 6.45 pagi, beliau telah sampai ke pejabat YWM. Melakukan tugas-tugas pembersihan pejabat sendirian. Dari satu bahagian ke satu bahagian. Untuk pastikan kami dapat bekerja dalam suasana yang selesa. Sesekali beliau singgah ke pantry pejabat untuk minum air. Melepaskan dahaga.. Walaupun usianya boleh dikategorikan sebagai warga emas, namun kudratnya masih kuat demi mencari rezeki yang halal.
Dan hari itu raut wajahnya muram. Tidak ceria seperti selalu. Ya, Kak Ami ceria orangnya. Setiap yang bertemu dengan beliau pasti akan disapa mesra. "Kak Ami ok?", tanya saya ketika lihat Kak Ami termenung di pantri. Dengan nada suara yang sayu beliau bersuara.. "Kakak sedih, gaji kakak akan berkurang jika PKP kerana kakak tidak boleh kerja penuh satu bulan.. Suami kakak pula sakit & perlukan wang untuk rawatannya di hospital", keluh Kak Ami. Allahu, air mata yang ditahan tadi, mengalir jua. "InshaAllah, Kak Ami jangan risau ya. YWM akan cuba bantu Kak Ami." Kata saya kepada beliau.
Alhamdulillah, YWM telah memberi sumbangan tunai kepada Kak Ami sebagai tanda YWM prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi. Hampir sahaja beliau memeluk saya ketika berita gembira itu diberitahu kepadanya. Terlalu gembira! Sambil mengalir air mata, beliau mengucapkan ribuan terima kasih dan bersyukur kepada Allah yang mengurniakan rezeki buat beliau. Beliau juga mengatakan bahawa suaminya telah mendapat temu janji vaksin, dapatlah beliau gunakan duit bantuan itu untuk kos perjalanannya ke sana nanti.
Moga Allah mengurniakan kesembuhan dan mengangkat segala kesakitan dan penyakit buat suami Kak Ami
اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ الْبَأْسَ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شَافِيَ إلَّا أَنْتَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقْمًا
“Wahai Tuhanku! Tuhan buat sekalian manusia, hilangkanlah penyakit. Berikanlah kesembuhan kerana Engkau adalah Maha Penyembuh. Tiada yang dapat menyembuhkan penyakit kecuali Engkau Ya Allah dengan kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit yang lain”.
Program sumbangan ini merupakan inisiatif YWM melalui Program CSR Prihatin YWM. Terima kasih para penyumbang. Sumbangan anda, sinar buat mereka.
جزاكم الله خيرا كثيرا و جزاكم الله احسن الجزاء
Kepada yang ingin memberi sumbangan, anda boleh menyumbang ke akaun CIMB ISLAMIC BANK BERHAD 8602218186 dan 'remark' sebagai DANAPERLU.
TERKINI
Kongsi Kongsi