Aktiviti
MUSA'ADAH COVID19 JAKIM-YWM | 135 PELAJAR PALESTIN DI MALAYSIA TERIMA BANTUAN KEWANGAN UNTUK MEMBIAYAI KOS PENGAJIAN |
18-06-2021

Putrajaya, 18 Jun 2021 – Sempena Pelancaran Program Musa’adah 3.0 oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 1 Jun 2021 yang lalu, usaha membantu golongan yang terjejas termasuklah kepada kelompok sasar baru iaitu rakyat Palestin merangkumi mereka yang berada di Malaysia sedang giat dilaksanakan. Usaha membantu kebajikan rakyat Palestin ini juga turut memberi manfaat kepada para pelajar Palestin yang sedang menyambung pengajian di universiti di Malaysia. Menurut YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, hasil kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia, Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Palestinian Progressive Association – Malaysia (PPAM), seramai 135 pelajar Palestin yang sedang menyambung pengajian di 21 buah universiti di Malaysia, telah dikenalpasti menghadapi kesukaran untuk membiayai kos pengajian mereka. Sejumlah RM451,402.91 diperuntukkan bagi tujuan membiayai kos pengajian pelajar Palestin dan bayaran ini akan disalurkan terus kepada pihak Universiti.Selain itu, Mohammad Sbaih, Ketua Pegawai Eksekutif PPAM dalam ucapannya berkata, mewakili pelajar Palestin di Malaysia, merakamkan ucapan setinggi￾tinggi terima kasih kepada masyarakat Malaysia atas keprihatinan terhadap rakyat Palestin. Sumbangan ini amat membantu dan memberi harapan baru kepada pelajar sepanjang pengajian mereka. Ucapan terima kasih turut dizahirkan kepada beberapa buah Universiti yang telah berbesar hati memberi pengurangan atau diskaun terhadap baki yuran yang perlu dibayar oleh pelajar-pelajar ini.Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kepada Pelajar Palestin di Malaysia yang dilaksanakan secara maya ini turut dihadiri oleh Ketua-ketua Jabatan Agensi Agama di bawah Jabatan Perdana Menteri, Pengurusan PPAM dan juga pelajar-pelajar Palestin di Malaysia.

Di samping itu juga, YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri mengucapkan tahniah kepada semua agensi agama di bawah pentadbirannya yang sentiasa cakna terhadap kesusahan yang dialami oleh pelbagai pihak akibat dari pandemik ini dan memberi komitmen akan terus membantu golongan terjejas. Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang terus menyumbang ke Tabung Musa’adah Covid-19 JAKIM-YWM. Terdahulu, agensi-agensi Agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah berjaya mengumpulkan sejumlah RM3.3 juta untuk disalurkan kepada keluarga rakyat Palestin di Malaysia dan juga kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menguruskan bantuan ke Palestin. Masyarakat boleh terus menyumbang ke Tabung Musa’adah COVID-19 JAKIMYWM melalui akaun CIMB Islamic Bank Berhad atas nama Yayasan Waqaf Malaysia (86-0221818-6).

Terima Kasih Para Penyumbang, Anda Sumbang, Kami Agih.


Kongsi Kongsi