WEBINAR WAKAF 2021 PERINGKAT NEGERI KEDAH : “TOKSAH DOK PENING, LA NI PAKAI DUIT PUN BOLEH WAKAF DAH"
25-08-202125 Ogos 2021 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) telah menganjurkan Webinar Wakaf 2021 Peringkat Negeri Kedah yang bertajuk “Toksah dok pening, la ni pakai duit pun boleh wakaf dah” secara atas talian selama 2 jam bermula pada jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari menggunakan aplikasi Cisco Webex Meetings.
Antara objektif penganjuran program ini adalah seperti berikut:
• Membolehkan semua peserta mendapat maklumat first hand daripada panel jemputan mengenai wakaf tunai di Kedah khususnya dan wakaf di Malaysia secara amnya;
• Memupuk kesedaran masyarakat tentang potensi wakaf sebagai instrumen pemacu ekonomi ummah dalam pembangunan sosio-ekonomi ummah dengan mengambil kira struktur perundangan negara; dan
• Memperkenalkan kaedah berwakaf menggunakan wang tunai dalam usaha meningkatkan tabungan dana wakaf dan ke mana dana wakaf ini digunakan.
Webinar ini telah berjaya menerima penyertaan seramai 4,688 peserta dari Facebook Live manakala 107 peserta dari aplikasi Cisco Webex Meetings. Program dimulakan oleh Cik Haidatul Azia binti Husin, Pengurus Bahagian Pemasaran dan Korporat YWM sebagai urusetia Webinar Wakaf 2021 Peringkat Negeri Kedah serta program diteruskan dengan pengenalan ringkas webinar oleh Pengacara Selebriti iaitu Fakhrul UNIC, selaku moderator webinar. Webinar kali ini disertai oleh barisan panel daripada YWM dan MAIK iaitu YBrs. Encik Abdul Halim bin Mat Yusop, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YWM selaku panel pertama dan YBrs. Tuan Syeikh Fakhrurrazi bin Yub,BCK, Ketua Bahagian Wakaf MAIK selaku panel kedua. Menariknya webinar kali ini, YWM menjemput UNIC untuk membuat persembahan nasyid pada pertengahan dan penghujung sesi webinar.
Selaku panel pertama, Encik Abdul Halim bin Mat Yusop telah menceritakan maksud wakaf dari segi bahasa dan istilah. Berhenti, menegah dan menahan adalah pengertian bagi sudut bahasa. Kemudian dari segi istilah pula ialah segala jenis harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, hibah dan wasiat dengan mengekalkan sumber fizikalnya untuk tujuan kebajikan dan juga mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.. Beliau turut menceritakan sejarah wakaf pada zaman para sahabat untuk dijadikan sumber inspirasi kepada peserta webinar. Wakaf di Malaysia perlu dijaga hartanya oleh pihak yang mempunyai autoriti seperti Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau mana-mana pihak yang dilantik oleh MAIN. Tuan Syeikh Fakhrurrazi bin Yub, selaku panel kedua telah mengulas berkenaan sejarah wakaf di Kedah. Pada zaman sebelum merdeka iaitu pada zaman pemerintahan British, segala pengurusan hal ehwal agama Islam di Kedah diuruskan oleh Ordinan Agama Islam. Sehubungan itu, terdapat undang- undang khas dalam menguruskan wakaf. Kebiasaannya wakaf di Kedah diuruskan oleh imam-imam masjid dan surau suatu ketika dahulu. Kemajuan sistem undang-undang negara telah menjadikan MAIN sebagai pemegang amanah tunggal bagi melancarkan proses perwakafan. Antara contoh pembangunan wakaf di Kedah adalah Masjid Sultan Sallehuddin Kariah Tok Bandar Pulai. Masjid ini adalah masjid yang tertua di Mukim Pulai. Kemudian, kerajaan negeri Kedah juga dalam perancangan membina pencawang elektrik di tempat yang strategik bagi melancarkan penggunaan sumber asas manusia.
Di pusingan seterusnya, Encik Abdul Halim bin Mat Yusop menerangkan usaha YWM dalam membantu golongan yang terjejas. YWM telah mengadakan agihan Dana Perlu dan Dana Pelajar kepada golongan yang memerlukan di setiap negeri. Sumbangan yang diberikan adalah keperluan hospital, peralatan belajar, sumber makanan, kewangan dan sebagainya. Seterusnya, Tuan Syeikh Fakhrurrazi bin Yub, meneruskan webinar ini dengan menceritakan tentang kerjasama MAIN dan universiti dalam melaksanakan kutipan wakaf. Kerajaan hanya membenarkan universiti awam sahaja untuk melaksanakan kutipan wakaf tunai bersama MAIN di kawasan setempat. Sehubungan itu, MAIK telah membuat perjanjian atau memorandum dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menubuhkan skim Dana Wakaf UUM. Pada 19 September 2019, UUM telah diberi kepercayaan oleh MAIK untuk menubuhkan skim Dana Wakaf UUM. Matlamat penubuhan skim tersebut adalah untuk tujuan pendidikan serta pembangunan modal insan bagi memperoleh manfaat kepada pelajar UUM. Seramai lebih 100,000 orang alumni dari UUM telah mengambil bahagian dalam menyumbang wakaf menerusi kerjasama MAIK-UUM ini. Buat masa ini juga, pihak MAIK sedang mengusahakan potongan gaji dikalangan penjawat awam di negeri Kedah. Masyarakat di Kedah kini boleh menggunakan platform yang ada untuk melaksanakan wakaf.
Semoga pembangunan ekonomi wakaf terus maju dan berkembang di seluruh Malaysia secara amnya dan di negeri Kedah khasnya, InsyaAllah. Penghargaan juga turut diberikan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan webinar wakaf ini. Semoga bertemu lagi pada webinar wakaf akan datang.
Klik pautan Facebook untuk menonton rakaman Webinar Wakaf yang bertajuk “Toksah dok pening, la ni pakai duit pun boleh wakaf dah” - https://fb.watch/7EsQNDmqh7/
TERKINI
Kongsi Kongsi