Kunjungan hormat daripada Free Power Sdn Bhd ke Yayasan Waqaf Malaysia
30-10-2025Putrajaya, 30 Oktober 2025 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menerima kunjungan hormat daripada wakil Free Power Sdn. Bhd., iaitu Puan Fau Zain dan Encik Jazlan Yatim. Kunjungan ini bertujuan untuk membincangkan potensi kerjasama strategik antara YWM dan Free Power Sdn. Bhd. dalam bidang pemasangan sistem solar di surau dan masjid.
Pemasangan sistem solar di surau dan masjid merupakan langkah strategik ke arah pengurusan tenaga yang lebih cekap dan mampan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos elektrik secara signifikan, malah menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang mesra alam. Pelaksanaannya turut mencerminkan komitmen terhadap kelestarian dan tanggungjawab sosial, menjadikan institusi masjid bukan sekadar pusat ibadah, tetapi juga contoh penerapan teknologi hijau yang menyokong agenda pembangunan mampan negara.
Matlamat utama pertemuan ini adalah untuk meneroka ruang kolaborasi antara kedua-dua pihak. Pihak Free Power Sdn. Bhd juga telah membentangkan mengenai cadangan konsep dan program serta kerangka kerjasama yang akan dijalankan. YWM amat menghargai kesediaan Free Power Sdn. Bhd. untuk menjalin kerjasama dalam inisiatif pemasangan solar ini. Diharapkan jalinan strategik ini dapat memperluas manfaat wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah yang mampan, serta menyokong agenda memperkasakan sektor tenaga hijau dan kemampanan alam sekitar negara.
TERKINI
Kongsi Kongsi