Majlis Peluncuran Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2025
27-02-2025Putrajaya, 27 Februari 2025 - Telah berlangsung Majlis Peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2025 anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) bersama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang telah disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Dengan tema ‘Wakaf Membangun Malaysia MADANI’, pengisian aktiviti tahun ini memberi tumpuan kepada aspek penerimaan dan pengagihan dana wakaf. Kedua-dua aspek ini amat penting bagi meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap pengurusan dana wakaf yang diuruskan oleh YWM serta Majlis Agama Islam Negeri.
Bagi tahun ini, CIMB Islamic Bank Berhad merupakan rakan strategik pembudayaan dan sosialisasi wakaf YWM dan Kenanga Investors Berhad, rakan strategik pertama YWM dalam mencipta produk pelaburan berasaskan wakaf, dengan penuh rasa tanggungjawab menjadi rakan strategik dalam penganjuran Bulan Wakaf Kebangsaan 2025. Dengan kekuatan kedua-dua entiti ini, peranan wakaf dalam menjaga kemaslahatan ummah akan terus diperkukuh dan dipertingkatkan.
Dalam majlis yang sama, YAB Perdana Menteri turut melancarkan Laporan Impak Pencapaian Wakaf Malaysia - bukti kejayaan sistem wakaf di negara Malaysia terbitan YWM.
Turut hadir adalah YB Senator Dato' Setia Dr. Naim bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM, YBhg. Dato' Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, YBhg. Dato’ Selamat bin Paigo, Ketua Pengarah JAWHAR dan YBrs. Dr. Ridzwan Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM. Semoga dengan sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan ini akan dapat mengihya’kan (menghidupkan) Ramadan kerana menerusi bulan ini, telah dijanjikan ganjaran pahala berlipat kali ganda bagi setiap usaha amal jariah, sedekah dan juga berwakaf.









TERKINI

Kongsi Kongsi