Ziarah Wakaf Prihatin YWM Santuni Institusi Pendidikan Dan Komuniti Setempat Di Perak
12-10-2026Teluk Intan, 12 Oktober 2026 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) memperkukuh komitmen memperluas manfaat wakaf kepada masyarakat menerusi program Ziarah Wakaf Prihatin di sekitar Perak yang melibatkan penyaluran sumbangan kepada institusi pendidikan dan komuniti setempat bagi meningkatkan keselesaan serta kemudahan untuk kegunaan harian.
Antara lokasi yang disantuni ialah Surau Al Falah, SK Bota Kanan, yang menerima sumbangan bagi menyokong usaha membaik pulih dan meningkatkan keceriaan surau sekolah. Menerusi sumbangan tersebut, pihak sekolah dapat menyediakan kemudahan pendingin hawa, sebuah unit Smart TV serta tingkap bagi mewujudkan ruang ibadah yang lebih selesa untuk hampir 50 orang pelajar pada satu-satu masa.
Selain itu, YWM turut mengunjungi Surau Madrasah Al Gharbiyah, Kampung Terengganu, Teluk Intan bagi meninjau penggunaan permaidani baharu yang disumbangkan menerusi inisiatif Wakaf Prihatin. Sumbangan ini amat bermakna kepada para jemaah, khususnya golongan warga emas, memandangkan permaidani sebelum ini telah lama digunakan dan semakin nipis sehingga menjejaskan keselesaan ketika menunaikan solat.
Menurut Encik Anas yang mewakili penduduk kampung, sumbangan tersebut bukan sahaja memberikan keselesaan kepada para jemaah, malah turut menarik minat masyarakat setempat untuk hadir menunaikan solat berjemaah dan mengikuti kuliah agama. Usaha ini diharapkan dapat mengimarahkan surau sebagai pusat ibadah dan penyebaran ilmu dalam kalangan komuniti setempat.
Dalam kunjungan yang sama, YWM turut melawat SK Convent, Teluk Intan bagi melihat penggunaan tiga (3) unit Smart TV yang telah disumbangkan untuk menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta program sekolah. Kemudahan tersebut ditempatkan di tiga lokasi utama, iaitu kantin yang turut digunakan sebagai tempat perhimpunan, surau dan pusat sumber sekolah.
Menurut Cikgu Khairul, guru merangkap Setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Convent, kemudahan Smart TV tersebut telah lama diharapkan oleh pihak sekolah bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran serta memberikan peluang kepada murid-murid memanfaatkan teknologi pendidikan yang lebih moden dan interaktif. Sumbangan ini dijangka memberikan manfaat kepada lebih 300 orang murid daripada pelbagai bangsa dan agama yang menuntut di sekolah berkenaan.
Lawatan ke ketiga-tiga lokasi ini diketuai oleh Encik Muhammad Muzzammil bin Mat Rodzi, Eksekutif Bahagian Pengurusan Dana YWM, yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif YWM.
Pelaksanaan Ziarah Wakaf Prihatin mencerminkan komitmen berterusan YWM dalam memastikan manfaat wakaf dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat, khususnya dalam meningkatkan kemudahan ibadah, memperkasa pendidikan dan menyokong kesejahteraan komuniti tanpa mengira latar belakang.
Semoga sumbangan yang disalurkan ini memberikan manfaat berpanjangan kepada para pelajar, warga sekolah dan penduduk setempat, sekali gus menjadi amal jariah yang berterusan buat para pewakaf.
TERKINI
Kongsi Kongsi