Aktiviti
Penyertaan Yayasan Waqaf Malaysia dalam Persidangan Kemanusiaan Tanpa Noktah
13-11-2024

Serdang, 13 November 2024 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah dijemput untuk menjadi salah seorang panel bagi forum ‘Kemanusiaan dan Isu-Isu Kontemporari’ di Persidangan Kemanusiaan Tanpa Noktah berlangsung di Auditorium Rashdan Baba, Universiti Putra Malaysia yang turut menampilkan ahli panel daripada Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia, iaitu, Tuan Mohd Azmi bin Abdul Hamid dan Encik Muhammad Zaid Abdul Karim daripada Cinta Syria Malaysia (CSM) sebagai moderator forum.

Melalui forum ini, wakil YWM iaitu Encik Mohd Fazdli bin Rosli, Eksekutif Kanan Bahagian Pengurusan Dana telah berkongsi bagaimana peranan YWM dalam sinergikan antara konsep wakaf dan hak asasi manusia. Selain itu, beliau juga menjelaskan bagaimana pengurusan dana awam di YWM bagi memastikan setiap dana yang dikumpulkan diurus dengan telus dan disalurkan secara berkesan kepada penerima manfaat.

Untuk makluman, program ini dianjurkan oleh CSM bersempena sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan NGO tersebut. Dengan tema “Merealisasikan Hak Asasi Manusia Dalam Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan”, persidangan ini menjadi platform bagi perbincangan isu kemanusiaan dan hak asasi manusia, khususnya cabaran komuniti pelarian di Malaysia. Program ini juga telah menghimpunkan ramai rakan-rakan NGO lain, ahli akademik, tokoh korporat, pemimpin komuniti dan pempengaruh yang bergiat aktif dalam memperjuangkan isu kemanusiaan.

Semoga penyertaan YWM dalam forum ini menunjukkan komitmen dalam memartabatkan wakaf sebagai pemangkin dalam misi kemanusiaan, di samping memberi inspirasi kepada institusi lain untuk memanfaatkan konsep wakaf bagi tujuan kebajikan ummah.


Kongsi Kongsi