Aktiviti
Program Jelajah Peduli Ummah Di Madrasatul Khairat Desa Pandan
27-10-2024

Kuala Lumpur, 27 Oktober 2024 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bergandingan bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Zus Coffee dan Persatuan Cinta Gaza Malaysia untuk menjayakan Program Jelajah Peduli Ummah bersama YB Datuk Sri Johari bin Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa di kawasan Desa Pandan. YWM telah diwakili oleh Encik Mohd Fazdli bin Rosli, Eksekutif Kanan Bahagian Pengurusan Dana.

Matlamat utama program ini adalah untuk menyantuni warga emas, asnaf dan golongan yang memerlukan. Dan bagi tujuan tersebut, sebanyak 200 kotak bantuan makanan telah diagihkan kepada golongan sasar. Selain sesi sumbangan, Klinik Bergerak MAIWP telah dijemput untuk menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma seperti tekanan darah, tahap gula dalam darah serta nasihat kesihatan kepada orang ramai yang hadir.

Untuk makluman, Jelajah Peduli Ummah ini telah dilancarkan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 11 Oktober 2024 yang lalu dan jelajah ini terus bergerak seluruh negara membantu mereka yang memerlukan khususnya mereka yang terjejas akibat bencana dan sebagainya. Jelajah Peduli Ummah ini akan terus bergerak ke seluruh negara dan YWM sebagai salah satu rakan strategik sentiasa menyokong penuh program pemerkasaan rakyat pada masa yang sama memupuk kepentingan nilai murni dan tanggungjawab sosial.


Kongsi Kongsi