Aktiviti
Kunjungan Hormat Dan Pembentangan Draf Pelan Induk Wakaf Nasional Ke Majlis Agama Islam Negeri Johor
11-06-2024

Johor Bahru, 11 Jun 2024 - Delegasi Kunjungan Hormat Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) 2025-2030 telah meneruskan ziarah ke zon selatan dan diketuai oleh YBhg. Dato' Selamat bin Paigo, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat & Haji (JAWHAR) dan Encik Abdul Halim bin Mat Yusop, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM). Kunjungan kali ini ke Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bagi berkongsi aspirasi dan hala tuju dalam PIWN ini. Rombongan JAWHAR dan YWM telah disambut oleh Tuan Haji Nasri bin Md Ali, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ dan turut disertai oleh Sahibus Samahah YB Dato' Ahmad Faisal Mohammed, Timbalan Mufti Johor serta pengurusan kanan MAINJ.

Objektif utama program ini adalah bagi membentangkan PIWN yang bermatlamat untuk melonjakkan sumbangan wakaf dalam sektor Kewangan Sosial Islam. PIWN ini akan dilaksanakan bersama pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) selaku Pemegang Amanah Tunggal Wakaf dalam memastikan setiap inisiatif strategik dan pelan tindakan yang digariskan dalam PIWN 2025-2030 ini dapat diterima oleh setiap MAIN dan dilaksanakan dengan berkesan.

Pihak MAINJ menyambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan untuk memperkasakan wakaf menerusi pelaksanaan PIWN. Pada sesi ini juga, pihak MAINJ berkongsi pandangan dan cadangan penambahbaikan kepada draf PIWN yang dibentangkan agar PIWN ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terutamanya MAIN dalam memperkasakan pengurusan wakaf sebagai sektor ketiga ekonomi negara. Selain itu, program ini juga bertujuan mengeratkan hubungan dua hala di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di samping meneroka peluang kerjasama strategik wakaf dalam memacu pembangunan sosioekonomi Ummah.


Kongsi Kongsi