Aktiviti
WEBINAR WAKAF 2021 PERINGKAT NEGERI PERLIS : "DUIT YANG HANGPA WAKAF KAT MAIPS GUNA BUAT APA TAH?"
16-06-2021

16 Jun 2021 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perlis (MAIPs) telah menganjurkan Webinar Wakaf 2021 Peringkat Negeri Perlis yang bertajuk “Duit yang hangpa wakaf kat MAIPs guna buat apa tah?” secara atas talian selama 2 jam menggunakan aplikasi Cisco Webex.

Antara objektif penganjuran program ini adalah seperti berikut:

  • Membolehkan semua peserta mendapat maklumat first hand daripada panel jemputan mengenai wakaf tunai di Perlis khususnya dan wakaf di Malaysia secara amnya;

  • Memupuk kesedaran masyarakat tentang potensi wakaf sebagai instrumen pemacu ekonomi ummah dalam pembangunan sosio-ekonomi ummah dengan mengambil kira struktur perundangan negara; dan

  • Memperkenalkan kaedah berwakaf menggunakan wang tunai dalam usaha meningkatkan tabungan dana wakaf dan ke mana dana wakaf ini digunakan.

Webinar ini telah berjaya menerima penyertaan seramai 1,354 peserta dari Facebook manakala 65 peserta dari aplikasi Cisco Webex.

Program dimulakan oleh YBrs. Encik Shuhaimi bin Nordin, Ketua Unit Kutipan Bahagian Pengurusan Zakat sebagai pengacara majlis. Buat julung kalinya webinar wakaf 2021 dirasmikan oleh Raja Muda Perlis iaitu DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs. Setelah itu, webinar ini diambil alih oleh YBrs. Encik Syafiq Liow, Pengacara TV (bebas) selaku moderator webinar. Webinar kali ini melibatkan panelis dari YWM iaitu YBrs Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif YWM sebagai panel pertama dan panel dari MAIPs iaitu YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim bin Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif / Setiausaha MAIPs sebagai panel kedua. Tuan moderator memulakan webinar wakaf ini dengan meneceritakan serba sedikit latar belakang kedua-dua panel. Kemudian, webinar wakaf pada kali ini membincangkan tajuk mengenai pengurusan serta perkembangan wakaf di Perlis khasnya dan di Malaysia atau peringkat persekutuan secara amnya.

Selain itu, perkara yang turut dibincangkan adalah mengenai fungsi MAIPs itu sendiri. MAIPs adalah agensi agama islam yang pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan pematuhan Standard Accounting System for Government Agencies (SAGA) daripada Jabatan Akuantan Negara. Ini menunjukkan Pihak MAIPs komited dalam melaksanakan dan menguruskan tadbir wakaf sebaik yang mungkin. Skim wakaf tunai yang terbahagi kepada am dan khas turut disediakan oleh MAIPs. Beberapa wakaf khas telah dijalankan oleh pihak MAIPs antaranya Wakaf Masjid, Wakaf Dialisis dan sebagainya. MAIPs telah menerima anugerah Sijil Bersih oleh Ketua Audit Negara 8 tahun berturut-turut dan pengauditan kewangan (AI) MAIPs telah dapat 5 bintang dari Jabatan Audit Negara.

Semoga pembangunan ekonomi wakaf terus maju dan berkembang pesat di seluruh Malaysia secara amnya dan di negeri Perlis khasnya, InsyaAllah. Penghargaan juga turut diberikan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan webinar wakaf ini. Semoga bertemu lagi pada webinar wakaf akan datang.

Klik pautan untuk menonton rakaman Webinar Wakaf - Webinar Wakaf “Duit yang hangpa wakaf kat MAIPs guna buat apa tah?” - https://fb.watch/69ih8nCqst/


Kongsi Kongsi