Aktiviti
WEBINAR WAKAF 2021 PERINGKAT NEGERI TERENGGANU : "WAKAF DENGANG PITIH PUNG BOLEH LENING”
31-05-2021

31 Mei 2021 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah menganjurkan Webinar Wakaf 2021 Peringkat Negeri Terengganu yang bertajuk "Wakaf dengang pitih pung boleh lening” secara atas talian selama 2 jam menggunakan aplikasi Cisco Webex.

Antara objektif penganjuran program ini adalah seperti berikut:

  • Membolehkan semua peserta mendapat maklumat first hand daripada panel jemputan mengenai produk Wakaf Tunai Terengganu khususnya dan wakaf di Malaysia secara amnya;
  • Memupuk kesedaran masyarakat tentang potensi wakaf sebagai instrumen pemacu ekonomi ummah dalam pembangunan sosio-ekonomi ummah dengan mengambil kira struktur perundangan negara; dan
  • Memperkenalkan kaedah berwakaf menggunakan wang tunai dalam usaha meningkatkan tabungan dana wakaf dan ke mana dana wakaf ini digunakan.

Webinar ini telah berjaya menerima penyertaan seramai 1,817 peserta dari Facebook manakala 41 peserta dari aplikasi Cisco Webex.Program dimulakan oleh Cik Haidatul Azia binti Husin sebagai pengacara majlis dan kemudian diambil alih oleh YBrs. Encik Daniel Tyler atau lebih dikenali sebagai Mat Dan, Pengacara Selebriti selaku moderator webinar. Webinar kali ini melibatkan panelis dari peringkat persekutuan iaitu YBrs. Tuan Haji Ruslan bin Said, Ketua Pengarah JAWHAR sebagai panel pertama dan panel dari MAIDAM iaitu YBrs. Encik Muhamad Syarif bin Omer, Penolong Setiausaha Seksyen Perhubungan Korporat dan Promosi, sebagai panel kedua. Webinar wakaf ini membincangkan topik mengenai pengurusan serta perkembangan wakaf di Terengganu khasnya dan di Malaysia secara amnya.

Selain itu, perkara yang turut dikupaskan adalah mengenai sistem pembayaran wakaf secara atas talian (ePay@MAIDAM), Pusat Hemodialisis yang dilaksanakan pada tahun 2019 dan juga Wakaf Perkuburan yang telah dilancarkan pada tahun 2020. Manakala Ketua Pengarah JAWHAR menerangkan tentang konsep projek MyHaus, Projek Wakaf Air YWM-KASA serta perlaksanaan Bulan Wakaf Kebangsaan pada 1 Ramadan 1442H yang lalu.

Semoga pembangunan ekonomi wakaf terus maju dan berkembang di seluruh Malaysia secara amnya dan di negeri Terengganu khasnya, InsyaAllah. Penghargaan juga turut diberikan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan webinar wakaf ini. Semoga bertemu lagi pada webinar wakaf akan datang.

Klik pautan untuk menonton rakaman Webinar Wakaf - Webinar Wakaf "Wakaf dengang pitih pung boleh lening” - https://fb.watch/5RiVuRigGq/


Kongsi Kongsi