Majlis Pelancaran Wakaf Halal Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) Yayasan Waqaf Malaysia bersama Halal Development Corporation Berhad
20-09-2022Kuala Lumpur, 20 September 2022 - Majlis Pelancaran Wakaf Halal PKS telah diadakan pada 20 September 2022 bertempat di Swiss - Garden Hotel Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi YWM. Turut hadir di majlis ini ialah YBhg. Datuk Awang Alik bin Jeman, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Datuk Haji Md Rawi bin Mahmud, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka merangkap Lembaga Pemegang Amanah YWM, YBrs. Prof. Dr. Amir bin Shaharuddin Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Encik Hairol Ariffein Sahari, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Encik Ahmad Lokman Ibrahim Ahli Lembaga Pengarah HDC, Pengurusan Tertinggi YWM dan HDC serta wakil Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji dan Majlis Agama Islam Negeri.
Program ini merupakan sebuah inisiatif pembiayaan alternatif bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di dalam industri Halal bertujuan merancakkan ekonomi Halal di Malaysia. Sebanyak RM4 juta telah diperuntukkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia sebagai Dana Pemula kepada pelaksanaan Wakaf Halal PKS bermatlamat untuk membantu menyediakan bantuan kewangan bagi pembelian aset perniagaan PKS seterusnya bakal melahirkan lebih ramai pengusaha industri halal di Malaysia.
Dalam merealisasikan hasrat Kerajaan dalam menjadikan wakaf sebagai sumber pembangunan ekonomi Keluarga Malaysia, Program Wakaf Halal PKS ini menggariskan beberapa matlamat besar, antaranya;
-
Membantu golongan PKS mikro, kecil dan sederhana dalam penyediaan keperluan aset perniagaan.
-
Memperkasa keupayaan dan kompetensi PKS melalui penyediaan latihan dan bimbingan perniagaan.
-
Menggalakkan PKS untuk mendapatkan pensijilan Halal JAKIM menerusi bimbingan daripada pihak HDC.
Pendekatan prinsip wakaf dalam pelaksanaan program ini adalah melalui dana wakaf yang dikumpul (Mawquf) iaitu sumbangan daripada Kerajaan, badan korporat mahupun individu (Waqif) akan diagihkan kepada PKS yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Bersama (Mawquf ‘Alaih) yang tidak terhad kepada PKS Muslim sahaja.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan berwakaf ke Dana Wakaf Halal PKS, sila layari https://ywm.gov.my/wakaf-halal-pks.
TERKINI
Kongsi Kongsi