WEBINAR WAKAF | SIRI 3 : WAKAF AIR: MATLAMAT DAN HARAPAN
03-02-2021PUTRAJAYA, 3 FEBRUARI 2021 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah telah menganjurkan Webinar Wakaf Siri 3 : Wakaf Air: Matlamat dan Harapan secara atas talian selama 2 jam menggunakan aplikasi Cisco Webex.
Antara objektif penganjuran program ini adalah seperti berikut:
- Memberi pendedahan kepada peserta bagaimana elemen wakaf disinergikan dengan pengurusan air negara yang akhirnya akan memberi manfaat secara holistik kepada masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama;
- menjawab tanggapan negatif sesetengah pihak yang berpendapat bahawa masyarakat tidak harus dilibatkan dalam urusan air negara memandangkan ia adalah tanggungjawab pihak Kerajaan;
- memupuk kesedaran masyarakat bahawa wakaf tidak hanya tertumpu kepada pembangunan sekolah atau kubur sahaja malah wakaf perlu dieksplorasi kepada setiap cabang keperluan kehidupan manusia; dan
- memperkenalkan kaedah berwakaf untuk Wakaf Air dan apa manfaat yang akan diterima oleh pewakaf menerusi pewakafan ini.
Webinar ini telah berjaya menerima penyertaan seramai 564 peserta dari pelbagai bidang seperti agensi kerajaan, swasta, Institusi Perbankan Islam (IFI), Institusi Pengajian Tinggi (IPTA), Institut Pengajian Swasta (IPTS) serta individu awam.
Webinar ini dimoderatorkan oleh YBrs. Dr. Rohayati binti Hussin, Ketua Jawatankuasa Wakaf, UiTM Cawangan Kedah Ketua Jawatankuasa Wakaf, UiTM Cawangan Kedah. Sesi dimulakan dengan sesi ucaptama oleh YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) dan diteruskan ke sesi perbincangan bersama panelis yang dihadiri oleh YBrs. Dr. Amir bin Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia dan YBrs. Dr. Razul Ikmal bin Ramli, Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Regulatori Perkhidmatan Air, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Sebanyak 5 projek perintis Wakaf Air telah diluluskan oleh Jawatankuasa Induk Program Wakaf Air dengan jumlah kos keseluruhan RM180,500 di beberapa lokasi sekitar Selangor, Perak, Pahang dan Johor.
TERIMA KASIH PEWAKAF! Semoga Allah SWT menganjari semua #peWAKAF dengan ganjaran berlipat kali ganda atas pewakafan melalui Wakaf Air. Yayasan Waqaf Malaysia dan Kementerian Alam Sekitar dan Air akan melaksanakan amanah ini sebaiknya dan moga dengan usaha ini matlamat untuk melengkapi dan menambahbaik sistem perkhidmatan pembekalan air di seluruh Malaysia dapat dicapai.
Penghargaan juga turut diberikan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan webinar pada kali ini. Semoga bertemu lagi pada Webinar Wakaf yang akan datang.
TERKINI
Kongsi Kongsi