Pertandingan Boling Sempena Majlis Apresiasi Yayasan Waqaf Malaysia Bersama Media Tahun 2026
30-09-2026PUTRAJAYA, 30 September 2026 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menganjurkan Pertandingan Boling Sempena Majlis Apresiasi YWM Bersama Media Tahun 2026 dengan kerjasama Nestlé Malaysia, bertempat di U-Bowl X, Alamanda Shopping Centre, Putrajaya.
Program santai ini diadakan sebagai tanda penghargaan YWM kepada rakan-rakan media yang sentiasa memberikan sokongan dalam membantu menyampaikan informasi, inisiatif serta manfaat wakaf kepada masyarakat.
Pertandingan ini meriah dengan penyertaan rakan-rakan media daripada pelbagai organisasi, antaranya Kelab Media Putrajaya, TV AlHijrah, Free Malaysia Today, Radio Televisyen Malaysia, New Straits Times Press, Bahagian Penyiaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Malaysia Tribune, Sinar Harian, IKIMfm, Utusan Malaysia Plus dan BERNAMA.
Turut hadir menyerikan suasana ialah kehadiran YBrs. Dr. Ridzwan bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM dan YBrs. Encik Nasrul Hadi bin Mohamed Nor, Ketua Hal Ehwal Halal, Nestlé Malaysia.
Dengan suasana yang santai dan penuh kemesraan, para peserta berpeluang beramah mesra, mengeratkan silaturahim serta menikmati pengalaman bermain boling bersama-sama di luar suasana kerja.
YWM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Nestlé Malaysia selaku rakan penaja program serta seluruh rakan media yang hadir dan memberikan sokongan sepanjang program berlangsung.
Semoga hubungan baik dan kerjasama strategik yang terjalin antara YWM dan rakan-rakan media terus diperkukuh, khususnya dalam usaha bersama menyebarluaskan kefahaman mengenai wakaf serta membudayakan wakaf dalam kalangan masyarakat.
Strike, spare dan yang paling penting, eratkan silaturahim!
Kongsi Kongsi