Aktiviti
WEBINAR WAKAF | SIRI 1: KE MANA HALA TUJU WAKAF NEGARA?
24-11-2020

PUTRAJAYA, 24 NOVEMBER 2020 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) buat julung kalinya telah menganjurkan Webinar WAKAF Siri 1: Ke Mana Hala Tuju Wakaf Negara? secara atas talian selama 2 jam menggunakan aplikasi Cisco Webex. Webinar ini telah berjaya menerima penyertaan seramai 265 peserta dari pelbagai agensi kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi serta individu (termasuk penyertaan dari luar Negara).

Program ini dimulakan dengan ucaptama oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Waqaf Malaysia. Dalam ucapan tersebut, beliau menekankan bahawa wakaf ini sangat dekat di hati masyarakat. Pemerkasaan pengurusan wakaf dan pembudayaan mengenai ibadah wakaf merupakan antara elemen penting dalam memacu industri pewakafan di Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.

Al Fadhil Ustaz Mohd Fazdli bin Rosli, Eksekutif Pemasaran dan Penyelarasan YWM telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis. Selain itu, Webinar ini telah diterajui oleh YBhg. Tuan Haji Ruslan bin Said (Ketua Pengarah JAWHAR) sebagai moderator, YBhg. SS Dr. Luqman bin Haji Abdullah (Mufti Wilayah Persekutuan) dan YBhg. Prof. Madya Dr Amir bin Shaharuddin (Ketua Pegawai Eksekutiif YWM) sebagai panel.

Penganjuran webinar ini juga adalah lanjutan dari pengumuman Belanjawan 2021 untuk memperkasakan YWM melalui jalinan kerjasama dengan pihak Kementerian, GLC dan CLIC dan juga pewujudan Pelan Induk Wakaf Nasional. Usaha sinergi dan kerjasama pemain wakaf bersama pihak korporat mampu membuka lebih banyak ruang dan potensi perkembangan wakaf seterusnya meningkatkan ekonomi negara.

Semoga ibadah wakaf terus subur dan menjadi salah satu elemen penting ekonomi negara satu hari nanti, InsyaAllah. Penghargaan juga turut diberikan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan Webinar Wakaf Siri 1 ini. Semoga bertemu lagi pada Webinar Wakaf akan datang.

Klik pautan untuk tonton rakaman Webinar Wakaf Siri 1 : Ke Mana Hala Tuju Wakaf Negara? https://www.youtube.com/watch?v=kDV0K-nvpCI


Kongsi Kongsi