WEBINAR WAKAF : 'BERHENTI' YANG BUKAN BERHENTI
27-09-202127 September 2021, JUMAAT – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) telah menganjurkan Webinar Wakaf Siri 1 yang bertajuk “Wakaf: ‘Berhenti’ yang bukan BERHENTI” secara atas talian selama 1 jam 30 minit bermula pada jam 8.00 malam hingga 9.30 malam menggunakan aplikasi StreamYard secara langsung di Facebook dan YouTube YWM, Facebook Surau Al-Barakah MKBR dan beberapa Facebook Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Antara objektif penganjuran program ini adalah seperti berikut:
• Menerangkan konsep sebenar wakaf termasuklah pelaksanaan wakaf tradisional dan wakaf kontemporari serta bagaimana ia dipraktikkan pada masa kini;
• Membolehkan semua peserta mendapat maklumat first hand daripada panel mengenai pelaksanaan wakaf tunai di Malaysia;
• Memupuk kesedaran masyarakat tentang potensi wakaf sebagai instrumen pemacu ekonomi ummah dalam pembangunan sosio-ekonomi ummah dengan mengambil kira struktur perundangan negara; dan
• Memperkenalkan kaedah berwakaf menggunakan wang tunai melalui Bank Rakyat dan apa faedah yang akan diterima oleh masyarakat sekiranya berwakaf menerusi platform ini.
Webinar ini telah berjaya menerima seramai 3,584 penyertaan iaitu menerusi Facebook Live YWM dan MAIN seramai 3,428 dan menerusi YouTube Live YWM seramai 156 peserta.
Webinar yang julung kalinya diadakan dengan kerjasama Bank Rakyat ini telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Cik Haidatul Azia binti Husin, Pengurus Bahagian Pemasaran dan Korporat YWM selaku pengacara webinar. Kemudian diikuti dengan pengenalan ringkas panel-panel oleh moderator jemputan iaitu iaitu PU Rahmat, finalis Pencetus Ummah Musim Pertama, Astro Oasis. Panel pertama webinar ini ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif YWM manakala panel kedua ialah YBrs. Ustaz Wan Rumaizi bin Wan Husin, Ahli Jawatankuasa Syariah Bank Rakyat.
Mengambil konsep ‘kuliah maghrib’, webinar ini telah dilaksanakan secara informatif pada waktu malam serta penyertaan adalah terbuka kepada semua golongan masyarakat. Hebahan program ini telah dilaksanakan secara meluas melalui semua media sosial YWM, Surau Al-Barakah MKBR dan MAIN. Pengesahan kehadiran turut disediakan bagi peserta yang mengikuti webinar ini bagi tempoh 1 jam 30 minit dengan mengisi borang kehadiran melalui pautan Google Form.
Sebagai permulaan, YBrs. Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin menghuraikan mengenai tajuk ‘berhenti’ yang bukan berhenti dengan menyatakan bahawa definisi wakaf menurut para fuqaha’ adalah Al-Habsu (الحبس) yang bermaksud berhenti atau tertahan. Ianya merupakan ‘berhenti’ dari segi kuasa pemilikan individu terhadap harta itu. Namun apa yang tidak ‘berhenti’ adalah dari segi manfaat harta wakaf tersebut selagi mana ia digunakan. Istimewanya wakaf berbanding zakat, wakaf boleh dilaburkan dan manfaat daripada pelaburan akan digunakan untuk kebajikan masyarakat umum. Berbanding zakat, kutipan zakat perlu diagihkan kepada lapan golongan yang berhak menerima zakat sahaja. Maka, wakaf dapat dilihat sebagai pemangkin sosio-ekonomi ummah kerana melalui manfaat dana wakaf, banyak projek berkebajikan dapat dilaksanakan.
Seterusnya, YBrs. Ustaz Wan Rumaizi bin Wan Husin selaku panel kedua turut menerangkan maksud disebalik tajuk webinar. Wakaf (berhenti), namun pahala dan manfaatnya tidak ‘terhenti’. Disebutkan dalam satu hadis, peristiwa wakaf Saidina Umar Al-Khattab bahawa sahabat Nabi SAW itu mendapat sebidang tanah di Khaibar lalu mewakafkan tanah tersebut atas seruan Baginda SAW. “Wakaf adalah salah satu amalan sedekah first class kerana menjamin pahala flow yang berpanjangan kepada pewakaf selagi mana harta itu kekal dan memberi manfaat.” Wakaf juga merupakan charity-based instrument kerana ianya diibaratkan menyumbang kembali harta yang dimiliki kepada masyarakat. Mengambil contoh wakaf tanah perkuburan Islam, manfaatnya dapat dinikmati oleh masyarakat muslim apabila kos pengebumian menjadi rendah kerana tiada caj dikenakan melalui tanah wakaf.
Pada sesi yang kedua, YBrs. Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin menjelaskan terdapat tiga institusi yang mempunyai kelayakan dalam menguruskan wakaf. Pertama, MAIN sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf diperingkat negeri. Kedua, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) sebagai penyelaras pentadbiran harta wakaf, zakat dan haji diperingkat persekutuan. Ketiga, YWM sebagai menyokong dan membantu usaha MAIN membangunkan hartanah wakaf. Beliau turut menjelaskan bahawa produk utama YWM adalah Wakaf Tunai Malaysia iaitu masyarakat boleh berwakaf serendah RM1. Melalui Dana Wakaf Tunai Malaysia dan Dana Manfaat Wakaf, YWM telah membantu menyediakan peralatan hospital di empat buah hospital kerajaan yang bernilai RM1.5 juta. YWM juga menerusi kerjasama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mewujudkan Wakaf Air. “Berwakaf melalui YWM juga boleh dapat potongan cukai pendapatan. Untung di dunia dan untung di akhirat, InshaAllah.” Kata beliau sebelum mengakhiri sesi kedua.
YBrs. Ustaz Wan Rumaizi bin Wan Husin juga menerangkan mengenai konsep geran sepadan iaitu setiap ringgit pewakafan melalui platform Bank Rakyat, Bank Rakyat akan mewakafkan nilai yang sama kepada YWM. Dana wakaf tersebut akan dilaburkan dalam pelaburan yang patuh syariah. Selain itu, beliau juga menyarankan masyarakat lebih cakna memilih institusi yang menguruskan pelaburan dana wakaf agar tidak berlaku sebarang kekeliruan.
Dipusingan akhir, kedua-dua panel telah menyimpulkan bahawa YWM dan Bank Rakyat merupakan agensi yang telah diberikan kepercayaan serta akan melaksanakan amanah pewakaf dengan baik selari dengan hasrat pewakaf agar manfaatnya kembali kepada ummah. Wakaf adalah palaburan pahala secara runcit, kerana nilai wakaf yang rendah juga mampu mencapai objektif wakaf itu dengan hasil pelaburan.
Semoga pembangunan ekonomi wakaf terus maju dan berkembang di seluruh Malaysia, InsyaAllah. Penghargaan juga turut diberikan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan webinar wakaf ini. Semoga bertemu lagi pada webinar wakaf bersiri akan datang.
Klik pautan Facebook dan YouTube YWM untuk menonton rakaman Webinar Wakaf Siri 1 yang bertajuk “Wakaf: ‘Berhenti’ yang bukan BERHENTI” Facebook YWM: https://fb.watch/8liaWnPb2W/ YouTube YWM: https://www.youtube.com/watch?v=etONVRFvaUY&t=793s
TERKINI
Kongsi Kongsi