Aktiviti
Kunjungan Hormat Ke Atas Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang
07-05-2026

George Town, 7 Mei 2026 - YBrs Dr. Ridzwan Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama-sama delegasi rasmi YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengadakan sesi mengadap TYT Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang di Seri Mutiara.

Sesi tersebut menjadi platform penting untuk membentangkan pelbagai inisiatif dan pencapaian semasa agensi-agensi di bawah Hal Ehwal Agama, termasuk peranan serta usaha yang sedang digerakkan oleh YWM dalam memperkasa pembangunan ummah melalui institusi wakaf.

Dalam sesi ini juga, YWM turut berkongsi hala tuju beberapa perancangan strategik yang bakal memberi impak besar kepada masyarakat, khususnya di Pulau Pinang. Insya-Allah, beberapa inisiatif wakaf berskala besar dan berimpak tinggi sedang dalam perancangan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat sebagai sebahagian usaha memperluas manfaat wakaf kepada masyarakat secara lebih mampan dan menyeluruh.

Komitmen ini mencerminkan usaha berterusan YWM dalam memastikan wakaf terus relevan sebagai instrumen pembangunan sosial, ekonomi dan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sebagai makluman, menerusi kerjasama antara YWM dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, YWM telah:

  1. melaksanakan pemasangan solar di Masjid Nurul Iman, Nibong Tebal di bawah produk Wakaf Masjid Hijau;
  2. menawarkan biasiswa kepada lima (5) pelajar dari Pulau Pinang yang telah ditawarkan pengajian peringkat diploma di Universiti Awam melalui produk myWaqafPTPTN; dan
  3. membangunkan empat (4) Bazar Wakaf Rakyat (bersamaan 20 unit ruang niaga) di perkarangan empat (4) masjid sekitar Pulau Pinang.


Kongsi Kongsi