Aktiviti
WEBINAR WAKAF 2021 PERINGKAT NEGERI KELANTAN : “SENEYNYO NOK WAKAF LONI, ADO SAMAH SERGHIYA POM BULEH DOH!”
14-09-2021

14 September 2021 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah menganjurkan Webinar Wakaf 2021 Peringkat Negeri Kelantan yang bertajuk “Seneynyo nok wakaf loni, ado samah serghiya pom buleh doh!” secara atas talian selama 2 jam bermula pada jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari menggunakan aplikasi StreamYard secara langsung di Facebook dan YouTube YWM serta beberapa Facebook Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Webinar ini telah berjaya menerima penyertaan seramai 3,285 peserta dari gabungan Facebook Live dan YouTube YWM serta beberapa Facebook MAIN.

Antara objektif penganjuran program ini adalah seperti berikut:

• Membolehkan semua peserta mendapat maklumat first hand daripada panel jemputan mengenai wakaf tunai di Kelantan khususnya dan wakaf di Malaysia secara amnya;
• Memupuk kesedaran masyarakat tentang potensi wakaf sebagai instrumen pemacu ekonomi ummah dalam pembangunan sosio-ekonomi ummah dengan mengambil kira struktur perundangan negara; dan
• Memperkenalkan kaedah berwakaf menggunakan wang tunai dalam usaha meningkatkan tabungan dana wakaf dan ke mana dana wakaf ini digunakan.

Webinar ini merupakan satu inisiatif daripada YWM bagi menguar-uarkan kepada masyarakat khusunya di negeri Kelantan untuk melaksanakan wakaf. Webinar telah dimulakan dengan pengenalan ringkas mengenai webinar oleh Cik Haidatul Azia binti Husin, Pengurus Bahagian Pemasaran dan Korporat YWM selaku pengacara webinar ini. Kemudian diikuti dengan pengenalan ahli panel oleh moderator jemputan iaitu Da’i Aiman yang merupakan finalis program Dai’ TV3 dan Pengacara Program Tanyalah Ustaz TV9. Webinar disertai oleh barisan panel daripada YWM dan MAIK iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif YWM selaku panel pertama dan YBrs. Ustaz Ridhwan bin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Baitulmal MAIK selaku panel kedua.

Webinar ini adalah terbuka kepada orang awam dan merupakan Webinar Wakaf Peringkat Negeri ke-10 yang telah dilaksanakan. Hebahan program ini telah dilaksanakan secara meluas melalui semua media sosial YWM, JAWHAR dan MAIK. Pengesahan kehadiran turut disediakan bagi peserta yang mengikuti webinar ini bagi tempoh 2 jam dengan mengisi borang kehadiran melalui Google Form.

Selaku panel pertama, YBrs. Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin telah menceritakan perbezaan mengenai zakat dan wakaf. Beliau menyatakan di Malaysia, kutipan zakat telah mencapai RM3 bilion setiap tahun untuk diagihkan kepada lapan golongan asnaf dan wakaf pula merupakan pelengkap kepada zakat kerana wakaf mampu membantu golongan yang memerlukan. Dengan melaksanakan ibadah wakaf, pewakaf juga dapat menikmati pahala yang berkekalan walaupun setelah meninggal dunia selagi mana harta wakaf itu digunakan. YBrs. Prof. Madya Dr. Amir turut menyatakan, “Masyarakat terdahulu seperti nenek moyang kita telah banyak mewakafkan tanah untuk dibangunkan, contohnya masjid, pondok tahfiz, madrasah, kubur dan sebagainya. Namun kini, masyarakat tidak perlu memiliki tanah untuk berwakaf. Berwakaf melalui tunai lebih mudah dan cepat kerana ibadah ini boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dan InshaAllah pahalanya berterusan walaupun dengan nilai RM10.”

Tambah beliau lagi, Universiti Al-Azhar di Mesir merupakan antara ikon pembangunan wakaf yang terawal dalam sektor pendidikan. Di Malaysia, idealisme mewujudkan institusi pendidikan yang berkonsepkan wakaf sepenuhnya seperti Universiti Al-Azhar boleh direalisasikan menerusi wakaf Pendidikan.

YBrs. Ustaz Ridhwan bin Abdul Rahman selaku panel kedua telah mengulas berkenaan sejarah perkembangan wakaf tunai di Kelantan. Secara dasarnya, wakaf tunai telah lama dilaksanakan di Kelantan melalui MAIK. Pada 22 Disember 2015, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V telah merasmikan dan melancarkan produk ‘Waqaf Tunai MAIK’, Sistem Waqaf Tunai MAIK, laman sesawang MAIK serta projek Pondok Bunut Payong. Kewujudan ‘Waqaf Tunai MAIK’ dan ‘Sistem Waqaf Tunai MAIK’ ini memudahkan lagi pihak MAIK dalam menguruskan dana wakaf.

Beliau turut menceritakan sejarah dan aktiviti yang telah diaksanakan oleh MAIK. MAIK merupakan majlis agama Islam yang tertua di Malaysia. Pada tahun 1915, Almarhum Sultan Muhammad ke IV telah mengasaskan MAIK. Terdapat beberapa tokoh yang pernah berwakaf menerusi MAIK sebagai contoh, Allahyarham Tok Kenali yang telah mewakafkan tanahnya untuk pembangunan di Kelantan. MAIK juga telah melaksanakan Wakaf Air di sekitar Kuala Krai bagi membolehkan masyarakat pedalaman mendapat sumber air bersih. Demi melancarkan pembangunan wakaf di Kelantan, MAIK akan melaksanakan amanah pewakaf dengan baik dan sempurna.

Semoga pembangunan ekonomi wakaf terus maju dan berkembang di seluruh Malaysia secara amnya dan di negeri Kelantan khasnya, InsyaAllah. Penghargaan juga turut diberikan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan webinar wakaf ini. Semoga bertemu lagi pada webinar wakaf akan datang.

Klik pautan Facebook dan YouTube YWM menonton rakaman Webinar Wakaf 2021 Peringkat Negeri Kelantan yang bertajuk “Seneynyo nok wakaf loni, ado samah serghiya pom buleh doh!” – Facebook: https://fb.watch/86_g1_NPew/ dan YouTube: https://www.youtube.com/watch?v=_ZCgy75IlzA


Kongsi Kongsi