Aktiviti
WEBINAR WAKAF | SIRI 5 : PELABURAN DANA WAKAF: SEJAUH MANA REALITI PELAKSANAANNYA
17-09-2021

17 September 2021 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah telah menganjurkan Webinar Wakaf Siri 5 yang bertajuk “Pelaburan Dana Wakaf: Sejauh Mana Realiti Pelaksanaannya?” secara atas talian selama 2 jam bermula pada jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari menggunakan aplikasi StreamYard secara langsung di Facebook dan YouTube YWM serta beberapa Facebook Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Antara objektif penganjuran program ini adalah seperti berikut:

• Menghuraikan konsep sebenar pelaksanaan pelaburan dana wakaf dan pandangan syarak terhadap pelaksanaan konsep ini;
• Mengupas sejauh mana konsep ini diterima pakai di Malaysia dan bagaimana ia boleh dilaksanakan mengikut perundangan sedia ada di setiap negeri; dan
• Menjadi salah satu cabang kajian para penyelidik dalam bidang wakaf untuk meneroka kaedah pelaksanaannya bagi membolehkan ia dilaksanakan secara menyeluruh di Malaysia.

Webinar ini telah berjaya menerima penyertaan seramai 4,109 peserta menerusi Live Facebook YWM serta crossposting bersama beberapa Facebook Page MAIN dan 242 peserta yang menyertai menerusi YouTube YWM. Jumlah keseluruhan penyertaan daripada kedua-dua medium adalah seramai 4,351 peserta.

Webinar dimulakan oleh Cik Haidatul Azia binti Husin, Pengurus Bahagian Pemasaran dan Korporat sebagai pengacara majlis. Webinar diteruskan dengan ucaptama oleh YB Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi YWM. Dalam ucapan beliau menyatakan bahawa terdapat beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh JAWHAR, YWM serta pelaksana wakaf yang diiktiraf oleh MAIN selaku pemegang Amanah tunggal harta wakaf di negeri.

“Pertama, merencana pelbagai pendekatan bagi membangunkan asset hartanah wakaf supaya setanding arus pembangunan ekonomi seperti Menara Imarah Wakaf yang menjadi ikon wakaf di negara ini.”

"Kedua, mewujudkan kaedah pendanaan wakaf melalui inovasi baharu yang lebih kontemporari dan mampu mengembangkan dana wakaf seperti Sukuk Wakaf, Wakaf REITs, Saham Wakaf, Wakaf Dividen dan sebagainya.”

"Ketiga, menerokai mekanisme pelaburan jangka panjang yang lain ke arah mengoptimumkan penggemblengan aset wakaf tanpa mengharapkan bantuan dana lain menerusi kaedah pelaburan yang strategik.”

Beliau menyatakan bahawa perkara di atas yang membabitkan aspek pembangunan, pendanaan dan pelaburan adalah faktor utama saling berkaitan yang mana jika diberi penekanan akan membantu merancakkan lagi pengurusan wakaf di Malaysia.

Seterusnya, YBrs. Dr. Farahdina Fazial, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Kedah, selaku moderator program ini telah memulakan majlis dengan memperkenalkan barisan panelis yang terlibat. YBrs. Encik Abdul Halim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YWM sebagai panel yang pertama manakala YBrs. Prof. Madya Dr. Azman bin Mohd Noor, Shariah Committee Bank Rakyat sebagai panel kedua.

Dalam webinar ini, panel pertama telah menjelaskan maksud pelaburan kepada peserta. “Pelaburan merupakan sejumlah wang yang dilaburkan dalam suatu usaha niaga atau aset yang dibeli dengan harapan akan mendapat keuntungan yang berlipat ganda melalui pelaburan tunai atau aset tersebut.” Tambah beliau lagi, terdapat dua dana yang dilaksanakan di YWM iaitu dana wakaf dan dana bukan wakaf. Dana Wakaf Tunai adalah sumbangan daripada masyarakat melalui produk wakaf YWM seperti Wakaf Am, Wakaf Air, Sijil Wakaf Tunai Pendidikan, Kesihatan, Pembangunan Ekonomi dan Bangunan. Manakala dana bukan wakaf adalah hasil dari pelaburan YWM iaitu Dana Manfaat Wakaf. Ketika pandemik Covid-19 ini, YWM telah menyumbangkan Dana Wakaf Tunai dan Dana Manfaat Wakaf untuk disalurkan kepada masyarakat yang terkesan. “Sebagai contoh, sumbangan peralatan dan kemudahan perubatan kepada Hospital Sungai Buloh telah dibuat menggunakan Dana Pokok Wakaf Tunai Malaysia berjumlah RM275,200.00 dan Dana Manfaat Wakaf berjumlah RM24,880.00, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan adalah RM300,080.00. Selain itu juga, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, telah menerima sumbangan peralatan dan kemudahan perubatan bernilai RM 634,400.00 menggunakan Dana Wakaf Tunai YWM.” Kata beliau.

Webinar diteruskan dengan kupasan dari YBrs. Prof. Madya Dr. Azman bin Mohd Noor selaku panel kedua. “Institusi kewangan Islam telah menyumbang pelbagai produk yang dapat meningkatkan peranan wakaf dalam masyarakat.” Perbankan Islam telah mengeluarkan pelbagai produk wakaf melalui Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia (AIBIM) secara khusus. “Sebagai contoh, AIBIM telah menguruskan kerjasama diantara Maybank Islamic Malaysia Berhad dan Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi mengeluarkan beberapa produk wakaf. Selain itu, Bank Rakyat telah bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dalam mengeluarkan Wakaf Bot untuk penggunaan nelayan di Terengganu.” Beliau juga menyatakan projek wakaf yang telah dilaksana ternyata dapat memberi manfaat kepada masyarakat serta meningkatkan ekonomi negara.

YBrs. Prof. Madya Dr. Azman bin Mohd Noor turut menceritakan tentang Waqaf An-Nur di Johor yang telah memperolehi hasil memberangsangkan dalam pelaburan saham wakaf. Aset-aset wakaf yang dibangunkan telah menjana ekonomi di negeri Johor. Di Indonesia juga, terdapat ratusan institusi pendidikan yang berjaya menjana pendapatan melalui pelaburan wakaf. Kejayaan tersebut membolehkan pihak pengurusan mengeluarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar yang memerlukan di sana. Universiti Al-Azhar Mesir pula merupakan contoh yang tidak asing lagi sebagai institusi wakaf pendidikan yang berjaya. Sebelum mengakhiri webinar, beliau menyimpulkan bahawa bahawa pelaksanaan pelaburan wakaf perlu dipelbagaikan sama ada dalam pelaburan tunai ataupun aset kekal agar dapat memberi impak positifkepada ekonomi negara.

Semoga webinar kali ini dapat memberi manfaat dan kefahaman kepada masyarakat mengenai pelaburan dana wakaf di Malaysia, InsyaAllah. Penghargaan juga turut diberikan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan webinar wakaf ini. Semoga bertemu lagi pada webinar wakaf bersiri akan datang.

Klik pautan Facebook dan YouTube YWM untuk menonton rakaman Webinar Wakaf Siri 5 yang bertajuk “Pelaburan Dana Wakaf: Sejauh Mana Realiti Pelaksanaannya?”

Facebook YWM: https://fb.watch/8doHNCEewH/
YouTube YWM: https://www.youtube.com/watch?v=CeGqZP8w8vM&t=918s


Kongsi Kongsi