Aktiviti
DANA PERLU YWM SANTUNI KELUARGA YANG TERJEJAS PENDAPATAN DI PINANG TUNGGAL, PULAU PINANG
15-08-2021

Pinang Tunggal, 15 Ogos 2021 - Perjalanan kami ke Kampung Pinang Tunggal, Pulau Pinang diiringi oleh wakil ketua komuniti di sini. Beliau terlebih dahulu memaklumkan mengenai keadaan setiap penerima kepada kami. Kedatangan kami disambut dengan gembira oleh seorang wanita bersama anak-anaknya.

‘Rumah’ yang didiami oleh anak beranak ini merupakan sebuah stor simpanan di belakang sebuah rumah. Ruangan yang gelap dan sempit untuk mereka lima beranak. Meski serba kekurangan, terlihat baju di ampaian tersusun rapi, ruangan memasak juga bersih, ruangan kecil mereka juga bersih dan kemas. ‘..suami akak ni dia rajin baiki-baiki, banyak juga rosak macam atap dan tandas kat belakang tu, suami akak baiki dan cantik-cantikkan sikit..’ Mata seorang ibu ini kelihatan berkaca-kaca saat bercerita kepada kami.

Keluarga ini pada asalnya menyewa di bandar, akibat pandemik melanda, suaminya telah kehilangan pekerjaan. Hutang sewaan rumah kian meningkat, suaminya mengambil keputusan untuk mengeluarkan simpanan KWSP untuk melangsaikan hutang-hutang tertunggak. Selesai melunaskan semua hutang piutang, tuan rumah sewa meminta mereka agar mengosongkan rumah sewa. Untuk meneruskan hidup di bandar menjadi mustahil kerana mereka kini tiada lagi simpanan dan punca pendapatan, tiada pilihan, lalu mereka berpindah ke ‘rumah’ yang mereka diami kini.

Ya Allah, kuatkanlah hati mereka, permudahkanlah urusan keluarga ini

Kedatangan kami membawa sedikit pengharapan buat keluarga ini. Tidak banyak yang kami dapat bantu, tetapi InsyaAllah ia dapat mengurangkan sedikit beban yang mereka hadapi. Setidak-tidaknya, kami dapat melihat kegembiraan yang terpancar di wajah mereka. Sumbangan disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif YWM.

“Terima kasih Yayasan Waqaf Malaysia”.

Ucapan terima kasih ini juga kami panjangkan kepada semua penyumbang Dana PERLU YWM. Amanah anda kami agihkan sebaiknya.

Program sumbangan ini merupakan inisiatif YWM melalui program Dana Perlu di bawah Program CSR Prihatin YWM. Terima kasih para penyumbang. Sumbangan anda, sinar buat mereka.

جزاكم الله خيرا كثيرا و جزاكم الله احسن الجزاء

Kepada yang ingin memberi sumbangan, anda boleh menyumbang ke akaun CIMB ISLAMIC BANK BERHAD 8602218186 dan 'remark' sebagai DANAPERLU.


Kongsi Kongsi