Aktiviti
WEBINAR WAKAF 2021 PERINGKAT NEGERI MELAKA : “WAKAF TUNAI MELAKA: PELABURAN AKHIRAT ANDA”
11-08-2021

11 Ogos 2021 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah menganjurkan Webinar Wakaf 2021 Peringkat Negeri Melaka yang bertajuk “Wakaf Tunai Melaka: Pelaburan Akhirat Anda” secara atas talian selama 2 jam bermula pada jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari menggunakan aplikasi Cisco Webex Meetings.

Antara objektif penganjuran program ini adalah seperti berikut:

  • Membolehkan semua peserta mendapat maklumat first hand daripada panel jemputan mengenai wakaf tunai di Melaka khususnya dan wakaf di Malaysia secara amnya;
  • Memupuk kesedaran masyarakat tentang potensi wakaf sebagai instrumen pemacu ekonomi ummah dalam pembangunan sosio-ekonomi ummah dengan mengambil kira struktur perundangan negara; dan
  • Memperkenalkan kaedah berwakaf menggunakan wang tunai dalam usaha meningkatkan tabungan dana wakaf dan ke mana dana wakaf ini digunakan.

Webinar ini telah berjaya menerima penyertaan seramai 3,390 peserta dari Facebook Live manakala 44 peserta dari aplikasi Cisco Webex Meetings. Program dimulakan oleh Cik Haidatul Azia binti Husin, Pengurus Bahagian Pemasaran dan Korporat YWM sebagai urusetia Webinar Wakaf 2021 Peringkat Negeri Melaka serta program diteruskan dengan pengenalan ringkas webinar oleh Penceramah Bebas iaitu Pencetus Ummah (PU) Amin, selaku moderator webinar. Webinar kali ini disertai oleh barisan panel daripada YWM dan Jabatan Mufti Negeri Melaka iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Amir bin Sharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif YWM selaku panel pertama dan SS. Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka selaku panel kedua.

Selaku panel pertama, YBrs. Prof. Dr. Amir bin Shaharuddin telah menceritakan maksud wakaf itu sendiri. “Wakaf membawa maksud ‘berhenti’ iaitu sebahagian harta yang kita miliki, diserahkan kepada pemegang amanah untuk kegunaan umum serta mencari keredaan Allah. Harta wakaf tidak boleh dijual beli atau dihibahkan serta tidak boleh diwarisi. Harta wakaf perlu dijaga supaya manfaatnya dapat digunakan secara berpanjangan oleh masyarakat.” kata beliau ketika memulakan sesi pertama.

Webinar diteruskan dengan panel kedua mengenai Wakaf Tunai Melaka. “Sebelum diperkenalkan sebagai Wakaf Tunai Melaka, pihak MAIM menggunakan Saham Wakaf Melaka yang telah dilancarkan pada tahun 1997. Kini, masyarakat diluar sana boleh berwakaf menggunakan tunai melalui MAIM serendah RM2 seunit. Hasil dari kutipan wakaf akan digunakan untuk membeli pelbagai aset wakaf serta pembangunan hartanah wakaf.” Jelas S.S. Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil semasa sesi webinar.

Dalam webinar tersebut, Prof. Madya. Dr. Amir bin Shaharuddin turut menerangkan tentang pengurusan wakaf di Malaysia serta perbandingan dengan negara luar. Sebagai contoh, Singapura merupakan negara yang mempunyai sistem wakaf serta tadbir urus yang baik. Di Indonesia, urusan wakaf adalah lebih terbuka kerana tidak memerlukan kebenaran dari pihak berkuasa untuk menjadi mutawali. Manakala di Malaysia, agensi perlu mendapatkan kebenaran MAIN untuk melaksanakan kutipan wakaf. Di Mesir pula, rakyat negara tersebut memperoleh manfaat daripada Universiti Al-Azhar di Kaherah manakala di Turki, banyak aset wakaf yang telah diwujudkan seperti jambatan, madrasah serta wakaf burung.

“Elemen wakaf perlu ada kreativiti dalam pelaksanaannya kerana wakaf berpotensi menghasilkan impak positif dalam sektor ekonomi.” Kata S.S. Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil pada sesi penutup webinar.

Semoga pembangunan ekonomi wakaf terus maju dan berkembang di seluruh Malaysia secara amnya dan di negeri Melaka khasnya, InsyaAllah. Penghargaan juga turut diberikan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan webinar wakaf ini. Semoga bertemu lagi pada webinar wakaf akan datang.

Klik pautan Facebook untuk menonton rakaman Webinar Wakaf yang bertajuk “Wakaf Tunai Melaka: Pelaburan Akhirat Anda” - https://fb.watch/7siGi4lRYT/


Kongsi Kongsi