Aktiviti
Yayasan Waqaf Malaysia Sertai Program MADANI Kita: Memaknai Harapan Rakyat
01-08-2026

Ampang, 1 Ogos 2026 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menyertai Program MADANI Kita: Memaknai Harapan Rakyat yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Dato' Ahmad Razali, Ampang. Program yang diterajui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dalam usaha mendekati masyarakat melalui penyampaian perkhidmatan secara langsung.

Bagi menjayakan pelaksanaan program tersebut, JAKIM telah melantik YWM sebagai jawatankuasa yang bertanggungjawab menguruskan pendaftaran serta penyediaan goodies kepada para pengunjung sepanjang program berlangsung.

Selain itu, YWM turut membuka kaunter Wakaf Tunai Malaysia di reruai Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Pelbagai perkhidmatan disediakan kepada orang ramai, termasuk konsultasi wakaf, permohonan potongan gaji wakaf, pembelian buku-buku terbitan YWM serta penyertaan dalam aktiviti kuiz Kahoot yang menawarkan pelbagai cenderamata menarik.

Program ini telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir ialah YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bersama-sama barisan pengurusan tertinggi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Program MADANI Kita menawarkan pelbagai pengisian dan perkhidmatan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat. Antaranya ialah saringan kesihatan percuma, Jualan Rahmah, Agro MADANI, pertukaran topi keledar dan minyak hitam motosikal, gunting rambut percuma, Al-Quran Exchange serta pelbagai kaunter perkhidmatan kerajaan yang disediakan di bawah satu bumbung bagi memudahkan urusan rakyat.

Lebih bermakna, program ini turut menyantuni komuniti melalui penyampaian sumbangan kepada masjid, sekolah agama, golongan yang memerlukan serta Tabung Musa'adah JAKIM–YWM. Inisiatif seumpama ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui kerjasama strategik antara agensi serta pendekatan turun padang yang lebih dekat dengan masyarakat.

Penyertaan YWM dalam program ini selaras dengan usaha berterusan agensi ini untuk memperluaskan kefahaman masyarakat mengenai institusi wakaf serta memudahkan orang ramai menyumbang kepada pembangunan ummah melalui pelbagai instrumen wakaf yang disediakan.


Kongsi Kongsi