Aktiviti
Sesi Lawatan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ke Atas Anggota Polis Diraja Malaysia Yang Cedera Ketika Bertugas
17-11-2026

Kuala Lumpur, 17 November 2026 - YBrs. Encik Abdul Halim bin Mat Yusop, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia telah mengiringi YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM dalam sesi ziarah kepada Lans Koperal Thierry Rodger Fendy, anggota polis yang mengalami kecederaan parah ketika menjalankan tugas pada 11 November 2026 yang lalu.

Sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan atas jasa serta pengorbanan beliau dalam menjalankan tanggungjawab demi keselamatan orang awam, YWM turut menyumbangkan tajaan penginapan di Puteri Bay Hotel Melaka, sebuah hotel wakaf di bawah kendalian YWM. Tajaan tersebut telah disampaikan oleh YB Menteri kepada ibu anggota berkenaan.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen YWM dalam menyantuni masyarakat serta memastikan manfaat wakaf dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan, khususnya sebagai penghargaan kepada mereka yang telah berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Lans Koperal Thierry Rodger Fendy diberikan kesembuhan yang segera, dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan kekuatan dan ketabahan kepada beliau seisi keluarga dalam menghadapi ujian ini.

Sekalung penghargaan juga diucapkan kepada pasukan pakar Hospital Kuala Lumpur atas kejayaan melakukan pembedahan menyelamatkan tangan mangsa.

Kredit foto: Pejabat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)


Kongsi Kongsi