Aktiviti
Pameran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Parlimen Malaysia
16-07-2026

Kuala Lumpur, 16 Julai 2026 - Sempena Program Minggu Hal Ehwal Agama di Parlimen Malaysia, beberapa agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menyertai selama empat hari bermula pada 13–16 Julai 2026 yang berlangsung di Lobi Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.

Antara agensi yang mengambil bahagian ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Lembaga Tabung Haji, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

Pameran yang dianjurkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini bertujuan mengetengahkan pelbagai kejayaan, pencapaian serta amalan terbaik dalam tadbir urus Hal Ehwal Islam yang telah mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Selain mempamerkan pelbagai inisiatif agensi, pameran ini turut menampilkan usahawan asnaf bimbingan agensi Hal Ehwal Agama seperti MAIWP dan YAPEIM yang memasarkan produk serta hasil kejayaan program pemerkasaan ekonomi.

Sepanjang penganjuran pameran, Yayasan Waqaf Malaysia telah mempromosikan pelbagai inisiatif wakaf serta berkongsi maklumat mengenai peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi ummah kepada para pengunjung.

Pada hari pertama pameran, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengadakan lawatan ke reruai pameran sambil diiringi ketua-ketua dan wakil agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Lawatan tersebut memberi peluang kepada mereka untuk meninjau pelbagai inisiatif, pencapaian dan perkhidmatan yang dipamerkan oleh setiap agensi.

Pameran ini turut mendapat sambutan menggalakkan daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat, warga Parlimen serta para pengunjung yang hadir. Turut mencuri perhatian ialah kunjungan YAB Perdana Menteri pada hari kedua penganjuran yang berkesempatan beramah mesra bersama para petugas di reruai pameran.

Terima kasih kepada semua pengunjung yang telah singgah dan menyokong usaha agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam memperkasa kesejahteraan ummah melalui pelbagai inisiatif dan perkhidmatan yang disediakan.


Kongsi Kongsi