Aktiviti
Program Sebarkan Salam @ Kinabalu 2026
16-11-2026

Kota Kinabalu, 16 November - Setinggi puncak yang didaki, sebesar itulah keinsafan dan kesyukuran terhadap keagungan ciptaan Ilahi.

Alhamdulillah, Program Sebarkan Salam @ Kinabalu 2026 anjuran Pejabat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah berlangsung pada 15 hingga 16 November 2026 dengan membawa pendekatan unik yang menggabungkan aktiviti pendakian, penghayatan spiritual serta penerapan nilai-nilai Islam dalam mendekati keindahan alam ciptaan Allah SWT.

Mewakili Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) ialah Encik Mohd Hafiz bin Sahruddin daripada Bahagian Pengurusan Dana telah berjaya bersama-sama pasukan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sampai ke puncak Gunung Kinabalu. Sepanjang pendakian, para peserta mengikuti pelbagai pengisian bermakna termasuk perkongsian Fiqh Pendakian Gunung, penghayatan fenomena langit malam dan arah kiblat, solat Subuh serta tadabbur alam di ketinggian Gunung Kinabalu.

Lebih daripada sekadar menawan puncak, program ini menjadi wadah menyemai semangat ukhuwah, ketabahan, disiplin dan kesyukuran, di samping menginsafi bahawa setiap langkah menuju puncak merupakan peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Kerana perjalanan menuju puncak bukan sekadar menguji kekuatan fizikal, tetapi turut mendidik hati untuk mengenal kebesaran Ilahi.

Semoga semangat dan penghayatan yang dibawa melalui program ini terus menyuburkan nilai kebaikan serta menginspirasikan masyarakat untuk sentiasa menyebarkan salam dan manfaat kepada sesama insan.


Kongsi Kongsi