Aktiviti
Taklimat Wakaf dan Pembukaan Kaunter Perkhidmatan Yayasan Waqaf Malaysia Sempena Majlis Khatam Al-Quran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
11-03-2026

Putrajaya, 11 Mac 2026 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah dijemput oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memberi taklimat wakaf bersempena dengan Majlis Khatam Al-Quran MOSTI. Sesi taklimat ini telah memberi peluang kepada warga kementerian untuk mengenali YWM dan ibadah wakaf dengan lebih dekat selain dapat menguar-uarkan inisiatif pembangunan wakaf yang telah dilaksanakan oleh YWM di Malaysia.

Sesi taklimat wakaf telah disampaikan oleh Encik Muzzammil Mat Rodzi, Eksekutif Bahagian Pengurusan Dana YWM di Surau Ar-Raudhah As-Sakinah yang berkongsi mengenai keindahan ibadah wakaf serta produk-produk wakaf semasa yang ditawarkan.

Selain itu, YWM turut berpeluang membuka kaunter wakaf khusus kepada warga MOSTI yang berniat ingin menunaikan wakaf secara tunai. Mengambil semangat daripada 10 hari Ramadan terakhir ini, Alhamdulillah, para peserta mengambil peluang untuk berwakaf dan 'berebut' ganjaran berlipat kali ganda di bulan mulia ini, InsyaAllah.

Terima kasih diucapkan kepada pihak MOSTI atas jemputan serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini. Semoga usaha memperkasa budaya wakaf ini dapat memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat dan negara.


Kongsi Kongsi