Aktiviti
Taklimat Wakaf Kepada Ahli Persatuan Islam Lembaga Getah Malaysia
24-04-2025

Sungai Buloh, 24 April 2025 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah diberi peluang untuk menyampaikan taklimat berkaitan wakaf kepada ahli-ahli Persatuan Islam Lembaga Getah Malaysia (PILGM) sempena Mesyuarat Agung Tahunan PILGM yang berlangsung di Auditorium Akademi Hevea Malaysia.

Taklimat bertajuk ‘Pengurusan Wakaf’ ini telah disampaikan oleh Puan Hanim Idzura binti Mohd Kalyubi, Pengurus Bahagian Pengurusan YWM, kepada lebih 150 orang ahli persatuan. Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBrs. En. Baharen bin Mohamad Ali, Naib Yang Dipertua PILGM.

Sepanjang program, YWM turut membuka kaunter wakaf yang menerima kunjungan ramai, khususnya daripada warga LGM yang tidak melepaskan peluang untuk menyumbang wakaf antaranya melalui myWaqaf PTPTN, Wakaf Masjid Hijau dan potongan gaji bulanan.

Sesi taklimat disemarakkan lagi dengan penyertaan aktif para hadirin dalam slot kuiz interaktif, yang bukan sahaja menguji pengetahuan, malah mencetuskan suasana mesra dan ceria. Peserta yang menunjukkan penglibatan aktif turut menerima saguhati istimewa daripada pihak YWM sebagai tanda penghargaan. Pelbagai persoalan menarik yang dikemukakan telah membuka ruang perbincangan bermanfaat dan memperkayakan lagi kefahaman tentang konsep dan pelaksanaan wakaf di Malaysia.

Sambutan hangat dan kerjasama erat yang diberikan oleh ahli-ahli PILGM amat kami hargai. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai wadah menyemai ilmu, menyuburkan semangat memberi, dan mempereratkan ukhuwah dalam kalangan warga kerja.

"Wakaf Membangun Malaysia MADANI"


Kongsi Kongsi