Aktiviti
Yayasan Waqaf Malaysia Terajui Transformasi Wakaf Digital: Penyertaan Strategik MyDAG dalam konsortium MyDigital ID
30-04-2026

Putrajaya, 30 April 2026 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai entiti wakaf kebangsaan dalam landskap ekonomi digital negara dengan penyertaan rasmi produk Malaysia Digital Agreement Gateway (MyDAG) dalam konsortium digital negara, MyDigital ID. Inisiatif strategik ini merupakan kolaborasi bersama MyDigital ID, My Digital Centre, dan PosCert.

Pemilihan YWM ke dalam konsortium ini merupakan satu pengiktirafan tertinggi daripada Kerajaan Malaysia terhadap usaha berterusan YWM dan Bahagian Hal Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam memartabatkan instrumen wakaf sebagai komponen arus perdana dalam ekosistem kewangan sosial Islam.

Majlis Simbolik Memorandum Persefahaman (MoU) ini telah disaksikan oleh barisan kepimpinan tertinggi negara, termasuk YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, YB Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), YBrs. Ir. Dr. Megat Zuhairy bin Megat Tajuddin, Ketua Eksekutif, Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara, JPM dan YBhg. Dato' Raja Nushirwan bin Zainal Abidin, Pengerusi MyDigital ID. Program ini telah berlangsung dengan jayanya di Putrajaya Marriott Hotel.

Langkah ini membuktikan dedikasi YWM dalam memastikan instrumen wakaf terus relevan dan dinamik, selari dengan aspirasi Malaysia Madani untuk memperkukuh kedaulatan digital dan kemakmuran ekonomi ummah.


Kongsi Kongsi