Aktiviti
Majlis Penyampaian Biasiswa Al-Falah MADANI
09-12-2024

Kuala Lumpur, 9 Disember 2024 – Bertempat di Pullman Kuala Lumpur City Centre Hotel & Residences, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menganjurkan Majlis Penyampaian Biasiswa Al-Falah MADANI di bawah produk wakaf myWaqafPTPTN. YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah diundang untuk menyempurnakan majlis ini. Untuk fasa pertama, seramai 70 mahasiswa pengajian diploma dari pelbagai universiti awam telah terpilih untuk menerima biasiswa ini.

Ini adalah lambang komitmen YWM untuk terus mengangkat nilai-nilai wakaf sebagai pemangkin kemajuan pendidikan negara. Pendidikan berkualiti tidak seharusnya menjadi hak eksklusif, tetapi merupakan suatu peluang yang boleh dinikmati oleh semua pihak. Menerusi wakaf pendidikan, manfaatnya lebih meluas untuk semua tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Dalam majlis yang sama, YB Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM turut menyampaikan sijil penghargaan kepada kakitangan YWM yang telah meraih kejayaan dalam Anugerah Inovasi Jabatan Perdana Menteri 2024, dengan pengiktirafan terhadap dua produk iaitu Wakaf Al-Muaqqat – Johan kategori Trek Ekonomi melalui program i-TEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur dan Wakaf Masjid Hijau – Tempat ketiga kategori Trek Sosial melalui pembiayaan alternatif sektor teknologi.

Turut diadakan bersama adalah sesi menandatangani surat hasrat kerjasama antara YWM bersama tiga (3) pihak iaitu Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Andorra Healthcare dan Kolej Professional Baitulmal Kuala Lumpur. Kerjasama ini memberi akan memberi tumpuan kepada pembangunan projek wakaf, hospital pakar dan penambahbaikan infrastruktur kebajikan pelajar melalui platform Go-Barakah.


Kongsi Kongsi