Pembukaan Kaunter Wakaf Sempena Pameran Penghijauan Malaysia – Kempen Penanaman 100 Juta Pokok
12-12-2024Kuala Lumpur, 11 Disember 2024 – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah menjemput Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama-sama beberapa agensi lain seperti Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Perhutanan Sabah, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dan Yayasan Hijau Malaysia untuk menjayakan Pameran Penghijauan Malaysia – Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bertempat di Lobi Utama Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen selama tiga (3) hari bermula 9 - 11 Disember 2024.
Melalui penyertaan ini, YWM mengambil kesempatan untuk mempromosikan Wakaf Tunai Perkhidmatan Hutan Malaysia (Wakaf Hutan) kepada umum. Wakaf Hutan ini merupakan salah satu produk wakaf tunai terbaharu YWM di mana dana wakaf terkumpul bagi tujuan ini akan digunakan bagi pelaksanaan projek pembangunan kemudahan asas di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) serta projek atau program pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan HSK.
Kemuncak kepada program ini adalah sesi penanaman pokok ke-100 juta di Taman Herba, Parlimen oleh YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia sebagai simbolik kepada pencapaian Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 yang berjaya dicapai lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan. Pokok yang dipilih adalah pokok Merbau yang merupakan pokok kebangsaan Malaysia dan turut bersama dipamerkan sepanjang pameran berlangsung.
YWM amat berterima kasih atas peluang yang diberikan dan kepada pewakaf yang telah membuat sumbangan, jutaan penghargaan diucapkan.
Kongsi Kongsi