Dana Dagangan Bursa Berciri Wakaf Pertama Di Dunia
10-12-2024Kuala Lumpur, 10 Disember 2024 – YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah hadir menyempurnakan Majlis Penyenaraian Waqf Exchange Traded (ETF) bertempat di Bursa Malaysia. Pelancaran ini adalah hasil kerjasama strategik antara Eq8 Capital Sdn Bhd dan YWM yang telah diumumkan pada bulan Mei 2024 lalu. Pewujudan produk seumpama ini adalah lanjutan daripada pelancaran Waqf Featured Fund Framework oleh Suruhanjaya Sekuriti pada bulan November 2022 dan Garis Panduan Produk dan Perkhidmatan Pasaran Modal Islam mengenai wakaf yang kini termasuk dana tersenarai seperti Amanah Pelaburan Hartanah dan dana ETF.
Waqf ETF merupakan produk pelaburan Dana Unit Amanah Islamik dengan elemen wakaf, di mana 50% daripada pendapatan yang dijana daripada pelaburan tersebut akan disumbangkan oleh pelabur sebagai wakaf dan baki 50% akan disalurkan kepada pelabur sebagai keuntungan pelaburan. Setiap dana wakaf yang diterima oleh YWM akan diagihkan dalam pelbagai sektor seperti kesihatan, pendidikan, sekuriti makanan, tenaga hijau dan lain-lain, bagi membolehkan manfaatnya dinikmati lebih ramai masyarakat secara holistik.
Turut hadir menyaksikan peristiwa bersejarah ini adalah YBhg. Tan Sri Abdul Wahid bin Omar, Pengerusi Bursa Malaysia, YBhg. Dato’ Selamat bin Paigo, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji merangkap Naib Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, YBhg. Datuk Wira Ismitz Matthew De Alwis, Pengarah Eksekutif Pengarah / Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors Berhad dan YBrs. Encik Syed Umar bin Abdul Rahman Alhadad, Pengarah Eksekutif / Ketua Pegawai Eksekutif Eq8 Capital Sdn Bhd.
Kini, wakaf telah diiktiraf secara meluas sebagai sokongan penting untuk pembangunan sosio ekonomi Malaysia dan menyumbang kepada matlamat United Nation's Sustainable Development Goals. Semoga dengan usahasama ini akan memakmurkan ibadah wakaf seterusnya membawa industri wakaf ke peringkat yang lebih kompetitif dan progresif.
Kongsi Kongsi