Aktiviti
Majlis Pengenalan Kampung Angkat Yayasan Waqaf Malaysia
20-10-2024

Klang, 20 Oktober 2024 – Dalam menyahut seruan kerajaan, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menganjurkan Majlis Pengenalan Kampung Angkat YWM di Masjid Kampung Kuantan, Klang, Selangor yang dirasmikan oleh YBrs. Dr. Ridzwan Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM. Program ini selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI dalam memartabatkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat serta dijadikan penanda aras untuk semua agensi Kerajaan melaksanakan pendekatan berbeza bagi memanfaatkan rakyat setempat.

Sempena majlis ini, telah diadakan satu ceramah wakaf oleh UstazHarryanto Rizal Rokman yang bertajuk 'Wakaf Perkasa Komuniti MADANI' dan penyampaian sumbangan kotak makanan kering kepada 271 penerima asnaf dengan nilai keseluruhan berjumlah RM54,200. Selain itu, YWM turut berbesar hati dalam menyampaikan penghargaan kepada Tuan Haji Ibrahim bin Haji Seman atas sumbangan bakti dan khidmat mengimarahkan wakaf di kampung ini.

Hadir sama dalam majlis ini adalah YBhg. Dato’ Sr. Dr. Mohd Mazlan bin Che Mat, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWM, YBhg. Datuk Dr. Mohd Ghazali Md Noor, Pengerusi iWaqf, YBrs. Dr. Mohamad Noor Ropiah Abu Bakar, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Wakaf Nasional Berhad, Penghulu Mukim Bukit Raja, Ketua Kampung, Nazir Masjid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Pengurus serta pegawai-pegawai YWM.

YWM berharap agar usaha murni ini dapat membantu Kampung Kuantan, Klang dan rangkaian-rangkaian, kampung-kampung sekitarnya dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat setempat. Bersama, kita membina masa depan yang lebih baik dan sejahtera.


Kongsi Kongsi