Aktiviti
Majlis Pengumuman Kerjasama Antara Yayasan Waqaf Malaysia Dan EQ8 Capital Sdn Bhd
29-05-2024

Kuala Lumpur, 29 Mei 2024 - Telah berlangsung Majlis Pengumuman Kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan EQ8 Capital Sdn Bhd bagi tujuan penerbitan Waqf Exchange Traded Fund (Waqf ETF) yang pertama di dunia bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre. YWM diketuai oleh YBrs. Dr. Ridzwan Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif manakala EQ8 Capital Sdn Bhd diketuai oleh Encik Umar Alhadad, Pengarah Eksekutif Eq8 Capital Sdn Bhd. Majlis simbolik ini turut disaksikan oleh YBhg. Datuk Kamarudin Hashim, Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, YBhg. Datuk Muhamad Umar Swift, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Ibrahim bin Haji Md. Yusof, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWM dan YBhg. Datuk Wira Ismitz Matthew De Alwis, Pengarah Urusan dan CEO Kenanga Investors Berhad.

Waqf ETF ini merupakan produk pelaburan Dana Unit Amanah Islamik dengan elemen wakaf, di mana 50% daripada pendapatan yang dijana daripada pelaburan tersebut akan disumbangkan oleh pelabur sebagai wakaf dan baki 50% akan disalurkan kepada pelabur sebagai keuntungan pelaburan. Setiap dana wakaf yang diterima oleh YWM akan diagihkan dalam pelbagai sektor seperti kesihatan, pendidikan, sekuriti makanan, tenaga hijau dan lain-lain, bagi membolehkan manfaatnya dinikmati lebih ramai masyarakat secara holistik. Pewujudan produk seumpama ini adalah lanjutan daripada pelancaran Waqf Featured Fund Framework oleh Seruhanjaya Sekuriti pada bulan November 2022 dan Garis Panduan Produk dan Perkhidmatan Pasaran Modal Islam mengenai wakaf yang kini termasuk dana tersenarai seperti Amanah Pelaburan Hartanah dan dana ETF.

Semoga dengan usahasama ini akan memakmurkan ibadah wakaf seterusnya membawa industri wakaf ke peringkat yang lebih kompetitif dan progresif.


Kongsi Kongsi