Yayasan Waqaf Malaysia Santuni Mangsa Kebakaran di Kajang
24-06-2024Kajang, 24 Jun 2024 - Pasukan Yayasan Waqaf Malaysia yang diketuai oleh Cik Haidatul Azia binti Husin, Pengurus Bahagian Pemasaran dan Korporat telah meluangkan masa untuk menyantuni keluarga Encik Nor Afandi yang diuji musibah kebakaran baru-baru ini di Taman Kajang Mewah. Menurut keterangan beliau, kejadian yang berlaku pada malam 18 Mei 2024 lalu disedari terlebih dahulu oleh salah seorang cucu beliau yang ketika itu sedang bersiap-siap untuk masuk tidur di tingkat atas kediaman mereka. Dalam keadaan api yang marak, terdapat beberapa barang keperluan yang tidak sempat diselamatkan namun mereka sekeluarga bersyukur kerana tiada kecederaan yang berlaku. Hasil siasatan pihak bomba, didapati kebakaran berpunca daripada percikan api akibat pendawaian suis yang bermasalah di dalam sebuah bilik yang sudah lama tidak digunakan.
Buat sementara menunggu rumah dibaik pulih, keluarga ini telah menyewa sebuah apartment di Sungai Chua, Kajang. Prihatin di atas kesusahan yang menimpa mereka, YWM telah tampil menyampaikan sumbangan dalam bentuk wang tunai untuk meringankan beban keluarga ini. YWM juga turut mendoakan agar mereka sentiasa tabah dan dikurniakan kekuatan untuk menghadapi ujian ini.
Kongsi Kongsi