Aktiviti
DANA PELAJAR YWM SUMBANG 30 TABLET KEPADA 3 BUAH SEKOLAH DI MELAKA
18-07-2021

Melaka, 18 Julai 2021 - Pandemik Covid19 telah memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat. Pelajar sekolah juga turut terkesan apabila ibu bapa kini tidak lagi mampu untuk menyediakan peranti atau gajet. Saki baki simpanan yang ada perlu didahulukan untuk keperluan mendesak seperti bekalan makanan dan ubat-ubatan. Jadi anak-anak ini terpaksa menjalani PdPR dengan berkongsi 'smartphone' ibu atau bapa dan ada juga anak-anak ini ketinggalan sesi PdPR memandangkan keadaan smartphone ibu atau bapa tidak berkapasiti untuk digunakan.

Melalui media sosial Yayasan Waqaf Malaysia, kami mendapat pelbagai pertanyaan dan permohonan daripada individu mahupun sekolah sendiri. Prihatin akan keadaan ini, hasil selidik, penilaian bahagian yang terlibat dan semakan silang dengan agensi peringkat Negeri kami turun menyampaikan amanah yang dipertanggungjawabkan ini kepada para penerima.

YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al Bakri, Menteri di JPM merangkap Pengerusi Yayasan Waqaf Malaysia telah menyampaikan 30 buah tablet kepada guru besar SK Taman Bukit Rambai, SK Bukit Rambai dan SK Kg. Gelam. Turut hadir, Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif YWM dan Tuan Haji Muhammad Ikram bin Ibrahim, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka.

Ucapan terima kasih ini kami panjangkan kepada semua penyumbang Dana PELAJAR YWM. Amanah anda kami agihkan sebaiknya.

Terima kasih para pewakaf. Wakaf anda, sinar buat mereka.

‎جزاكم الله خيرا كثيرا و جزاكم الله احسن الجزاء

Kepada yang ingin berwakaf untuk Dana PELAJAR, sila layari www.ywm.gov.my/wakaf-online dan pilih Sijil Wakaf Tunai Pendidikan.


Kongsi Kongsi