Kunjungan Hormat Dan Pembentangan Draf Pelan Induk Wakaf Nasional Ke Majlis Agama Islam Negeri Sembilan
16-05-2024Seremban, 16 Mei 2024 - Delegasi Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang diketuai oleh YBrs. Tuan Md. Ramzi bin Ishak, Timbalan Ketua Pengarah JAWHAR dan YBrs. Tuan Abdul Halim bin Mat Yusop, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YWM dan turut disertai oleh pengurusan kanan JAWHAR dan YWM telah meneruskan Kunjungan Hormat Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) 2025-2030 ke Wilayah Selatan. Negeri pertama yang dikunjungi pada sesi kali ini ialah ke Majlis Agama Islam Negeri Sembilan bagi berkongsi aspirasi dan hala tuju dalam PIWN ini. Rombongan JAWHAR dan YWM telah disambut oleh YBhg. Dato’ Seri Dr. Abdul Aziz bin Sheikh Abdul Kadir, Pengerusi MAINS dan turut disertai oleh Ustaz Zainal bin Said, Setiausaha MAINS serta pengurusan kanan MAINS.
Objektif utama program ini adalah bagi membentangkan PIWN yang bermatlamat untuk melonjakkan sumbangan wakaf dalam sektor Kewangan Sosial Islam. PIWN ini akan dilaksanakan bersama pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) selaku Pemegang Amanah Tunggal Wakaf dalam memastikan setiap inisiatif strategik dan pelan tindakan yang digariskan dalam PIWN 2025-2030 ini dapat diterima oleh setiap MAIN dan dilaksanakan dengan berkesan. Pihak MAINS menyambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan untuk memperkasakan wakaf menerusi pelaksanaan PIWN. Pada sesi ini juga, pihak MAINS berkongsi pandangan dan cadangan penambahbaikan kepada draf PIWN yang dibentangkan agar PIWN ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terutamanya MAIN dalam memperkasakan pengurusan wakaf sebagai sektor ketiga ekonomi negara. Selain itu, program ini juga bertujuan mengeratkan hubungan dua hala di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di samping meneroka peluang kerjasama strategik wakaf dalam memacu pembangunan sosioekonomi Ummah.
Kongsi Kongsi