Aktiviti
International Waqf Conference 2024
14-05-2024

Kuala Lumpur, 14 Mei 2024 - Yayasan Canselor UKM (YCUKM) bersama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Jabatan Wakaf Zakat & Haji (JAWHAR) telah bekerjasama mengadakan International Waqf Conference 2024 (IWC24) buat julung kalinya pada 14-15 Mei 2024. Majlis telah dirasmikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, UKM, Prof Dato’ Ts Dr Norazah Mohd Nordin; Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr. Ridzwan Bakar; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Haji Abdullah; Ketua Pengarah JAWHAR, Dato’ Selamat Paigo; Ketua Pegawai Esekutif dan Pengarah Pergas Investment Holdings, merangkap penceramah utama IWC24, Dr. Shamsiah Abdul Karim dan Pengarah Yayasan Canselor UKM, Prof Ts Dr. Faizal Mohamed.

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan dalam ucapannya berkata IWC24 menjadi platform kepada pertukaran idea serta buah fikiran daripada kalangan peserta agar potensi instrumen wakaf dapat digembleng yang akhirnya akan menatijahkan pembangunan ekonomi yang lestari dan mampan. Menurut YB Senator lagi, sebagai permulaan, YWM telah memulakan langkah ini melalui misi lawatan kerja ke Timur Tengah pada 18 – 29 April 2024 bersama wakil Majlis Agama Islam Negeri, institusi kewangan, wakil universiti dan pemain industri wakaf. Menerusi lawatan kerja ini, pelbagai potensi kolaborasi bersama penyumbang dana dapat diterokai yang akhirnya akan memperkasakan pembangunan wakaf di Malaysia.

Seramai 100 peserta yang terdiri daripada ahli akademik, pemain industri kerajaan, swasta dan korporat dalam negara dan luar negara telah menyertai persidangan ini. Menerusi penganjuran ini diharapkan agar potensi wakaf dapat terus diteroka dan berkembang maju agar manfaatnya dapat dinikmati oleh semua.


Kongsi Kongsi