Lawatan Kerja Dan Sesi Libat Urus Ke Organisasi Wakaf Di Kuwait
28-04-2024Kuwait, 28 April 2024 - Sesi libat urus perkongsian pengalaman pengurusan dan pembangunan wakaf diteruskan bersama pihak Kuwait Awqaf Public Foundation yang dipengerusikan oleh Madam Ma'areb Yaqoub Al Yaqoub, Delegated Endowment Fund Manager of the State of Kuwait. Manakala Delegasi Malaysia yang diketuai oleh YBrs. Dr. Ridzwan Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama-sama dengan YBhg. Dato' Selamat bin Paigo, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji merangkap Naib Pengerusi YWM, YBhg. Dato' Seri Dr Abdul Aziz bin Sheikh Ab. Kadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Urusetia YWM telah hadir ke sesi tersebut.
Sesi libat urus dan pitching kerjasama strategik wakaf ini diteruskan dengan pembentangan Pengalaman Malaysia dalam Pengurusan Wakaf dan Projek-projek Wakaf Berimpak Tinggi oleh YBrs. Dr. Ridzwan Bakar. Pembentangan Projek Wakaf Berimpak Tinggi ini adalah misi untuk menarik pelaburan asing terutamanya daripada negara Asia Barat bagi membiayai projek wakaf dalam sektor berpotensi yang telah dikenalpasti iaitu sektor kesihatan, pendidikan dan pembangunan ekonomi dan komuniti di Malaysia. Pihak Kuwait Awqaf Public Foundation menyambut baik hasrat Malaysia untuk bekerjasama dalam pembangunan wakaf di Malaysia. Bagaimanapun, pihaknya menyarankan agar Malaysia melihat prosedur dan tatacara penyaluran dana wakaf daripada negara Kuwait ke Malaysia bagi memudahkan pelaksanaannya berjalan dengan lancar.
Kongsi Kongsi