Aktiviti
Lawatan Kerja Dan Sesi Libat Urus Ke Organisasi Wakaf Di Kuwait
28-04-2024

Kuwait, 28 April 2024 - Sesi libat urus perkongsian pengalaman pengurusan dan pembangunan wakaf di Kuwait telah diadakan bersama pihak The Ministry of Awqaf and Islamic Affairs State of Kuwait yang dipengerusikan oleh Dr. Bader Al-Mutairi, Undersecretary Ministry of Awqaf and Islamic Affairs of the State of Kuwait. Delegasi Malaysia diketuai oleh YBrs. Dr. Ridzwan Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama-sama dengan YBhg. Dato' Selamat bin Paigo, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji merangkap Naib Pengerusi YWM, beberapa Majlis Agama Islam Negeri serta pihak-pihak berkepentingan berkaitan wakaf. Ketibaan para delegasi Malaysia disambut pihak Ministry of Awqaf and Islamic Affairs State of Kuwait. Menerusi pertemuan ringkas bersama beliau di Kementerian, beliau amat mengalu-alukan kerjasama strategik antara negara Malaysia dan Kuwait dalam berkongsi kepakaran pengurusan wakaf dan juga pelaburan dalam projek wakaf yang berimpak tinggi.

Sesi libat urus dan pitching kerjasama strategik wakaf ini diteruskan dengan pembentangan Pengalaman Malaysia dalam Pengurusan Wakaf dan Projek-projek Wakaf Berimpak Tinggi oleh YBrs. Dr. Ridzwan Bakar. Pembentangan Projek Wakaf Berimpak Tinggi ini adalah misi untuk menarik pelaburan asing terutamanya daripada negara Asia Barat bagi membiayai projek wakaf dalam sektor berpotensi di Malaysia. Alhamdulillah, cadangan projek berimpak tinggi ini telah mendapat maklum balas yang positif daripada pihak Ministry of Awqaf and Islamic Affairs State of Kuwait.


Kongsi Kongsi