Lawatan Kerja Dan Libat Urus Ke Organisasi Wakaf Di Kesultanan Oman
25-04-2024Oman, 25 April 2024 - Tiga (3) sesi libat urus perkongsian pengalaman pengurusan dan pembangunan wakaf di Kesultanan Oman telah diadakan bersama pihak The Ministry of Endowments and Religious Affairs of the Sultanate of Oman, Imam Jaber bin Zaid Waqf Foundation dan Siraj Waqf Foundation yang diketuai oleh Sheikh Abdul Aziz Masoud Al Ghafri, Assistant General Director Awqaf and Baitulmal Affairs. Delegasi daripada Malaysia diketuai oleh Dr. Ridzwan Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama-sama dengan YBhg. Dato' Selamat bin Paigo, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji merangkap Naib Pengerusi YWM, beberapa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta pihak-pihak berkepentingan berkaitan wakaf.
Ketibaan para delegasi Malaysia disambut meriah oleh Sheikh Ahmed bin Saleh bin Sufyan Al Rashdi, Timbalan Menteri merangkap Ketua Setiausaha The Ministry of Endowments and Religious Affairs of the Sultanate of Oman. Dalam pertemuan ringkas bersama beliau di Kementerian, pihaknya mengalu-alukan kerjasama strategik antara dua negara iaitu Malaysia dan Kesultanan Oman dalam berkongsi kepakaran pengurusan wakaf dan juga pelaburan dalam projek wakaf yang berimpak tinggi. Sesi libat urus dan pitching kerjasama strategik wakaf ini diteruskan dengan pembentangan Pengalaman Malaysia dalam Pengurusan Wakaf dan Projek-projek Wakaf Berimpak Tinggi oleh Ketua Pegawai Eksekutif YWM. Pembentangan Projek Wakaf Berimpak Tinggi ini adalah merupakan misi untuk menarik pelaburan asing terutamanya daripada negara Asia Barat bagi membiayai projek wakaf dalam sektor keterjaminan makanan dan pendidikan di Malaysia. Alhamdulillah, cadangan projek berimpak tinggi ini telah mendapat maklum balas yang positif daripada pihak Kesultanan Oman terutamanya The Ministry of Endowments and Religious Affairs of the Sultanate of Oman.
Kongsi Kongsi