Aktiviti
YWM Dan Rakan Strategik Raikan Anak Yatim / Miskin Berbuka Puasa Di Puteri Bay Hotel Melaka
16-03-2024

Melaka, 16 Mac 2024 - Bersempena Bulan Wakaf Kebangsaan 2024, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama rakan strategik iaitu Spectre MD Sdn. Bhd., Koperasi Penguatkuasa PBT Berhad (KOPPBT) dan Worldgate Resources telah menganjurkan Majlis Iftar Rantaian Kasih untuk menyantuni 113 orang anak yatim / miskin daripada 3 buah rumah Kebajikan, iaitu Lembaga Pengurusan Anak Yatim dan Miskin (PAYASUM), Melaka; Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Darul Khusus (PEYAKIN), Negeri Sembilan; dan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Daerah Jasin, Melaka (PKAYI).

Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh adik Muhammad Hazim bin Hamizal dari PKAYI dan diserikan dengan persembahan Kumpulan nasyid Al-Gaza dari PEYAKIN. Sejumlah RM46,300.00 telah diagihkan dalam majlis ini, iaitu:

  1. RM15,000.00 Dana CSR Prihatin YWM diagih kepada PAYASUM, PEYAKIN dan PKAYI dengan masing-masing menerima RM5,000.00;
  2. RM11,300.00 daripada Worldgate Resources yang diagihkan kepada 113 anak yatim / miskin di mana setiap seorang menerima sumbangan sebanyak RM100.00;
  3. RM10,000.00 masing-masing kepada YWM dan YAWATIM yang disumbangkan oleh Richwood Ventures Berhad.

Dato’ Selamat bin Paigo, Naib Pengerusi YWM dalam ucapannya berkata, penganjuran majlis ini bertujuan untuk menyantuni golongan-golongan yang memerlukan seperti asnaf, B40 dan anak yatim, bagi memastikan mereka yang sedang diuji ini, tidak rasa tersisih dan sentiasa merasai keprihatinan masyarakat kepada mereka. Selain daripada mengeratkan lagi kerjasama sedia ada, penganjuran ini juga lebih kepada memperluaskan rangkaian kerjasama YWM terutamanya dalam sektor korporat. Turut hadir dalam majlis ini adalah Dr. Ridzwan Bakar (Ketua Pegawai Eksekutif YWM), Dr. Tun Mohd Izlizam bin Tun Bahardin (Pengerusi KOPPBT), Prof. Dato’ Dr. Haji Tengku Mahmud bin Mansor (Presiden PEYATIM merangkap Pengerusi Eksekutif YAWATIM), Dr. Haji Mazlan Ahmad (Timbalan Pengerusi Eksekutif YAWATIM merangkap Pengerusi Eksekutif Richwood Ventures Berhad) dan Encik Khairul Rizam Othman (Pengarah Eksekutif Spectre MD Sdn. Bhd.)

Melihat senyuman anak-anak ini, cukup memberi kepuasan kepada kami. Mereka gembira, kami senang hati!


Kongsi Kongsi