Majlis Peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan 2024
11-03-2024Kuala Lumpur, 11 Mac 2024 - Telah berlangsung Majlis Peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 anjuran Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia. Majlis ini disempurnakan oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Naim bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM.
Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 akan memberi fokus kepada Wakaf Pendidikan Tinggi di mana menerusi majlis ini juga, YB Senator Dato' Setia Dr. Naim bin Haji Mokhtar turut melancarkan produk wakaf - myWaqafPTPTN, iaitu hasil kerjasama strategik antara YWM dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta Buku Amalan Tadbir Urus Wakaf di Universiti Awam Malaysia terbitan JAWHAR. Menerusi Kerjasama YWM dan PTPTN ini, semua terimaan dana wakaf myWaqafPTPTN akan diuruskan oleh YWM dan dana wakaf tersebut akan dilaburkan di dalam portfolio pelaburan patuh Syariah. Hasil pelaburan (manfaat wakaf) kemudiannya akan diagihkan kepada benefisiari terpilih dalam bentuk biasiswa pendidikan tinggi.
Pada majlis ini, turut berlangsung Waqf Hi-Tea Talk: Wakaf Pendidikan Pemacu Malaysia MADANI yang melibatkan dua (2) ahli panel iaitu YBrs. Dr. Ridzwan Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM dan YBrs. Encik Ahmad Dasuki bin Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN. Mereka turut berkongsi ilmu dan pandangan mengenai jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam membangunkan wakaf pendidikan tinggi.
TERKINI
Kongsi Kongsi